Wednesday, May 7, 2025

Semuanya dibalas sempurna.


Tadi saya bercerita tentang si A, anak seorang kawan yang baru balik dari honeymoon, ditaja sepenuhnya oleh ibu mentuanya yang have-have. Mendengar cerita itu, si B hanya menjawab perlahan, dengan nada sedikit hiba: 

"Bestnya jadi menantu orang kaya… semuanya boleh dapat." 

Saya terdiam. Tiba-tiba rasa bersalah, seolah-olah kisah yang saya kongsi tadi tanpa sengaja mengguris hati Si B.  

Memanglah, dari mata kita, nampak hidup si A begitu mudah. Rezekinya melimpah, jalannya terasa lancar, segalanya seperti tersedia. Tapi kita selalu lupa, kadang-kadang rezeki seseorang itu bukan datang sekelip mata.

Mungkin itu buah daripada doa, amalan, dan kebaikan yang telah lama ditanam oleh ibu bapanya dahulu. Saya sendiri pernah menjadi saksi kebaikan ibu ayahnya, tak berkira, sentiasa ringan tulang membantu orang lain walaupun mereka sendiri hidup sederhana, gaji pun cukup2 makan ketika itu.  Mungkin di situlah rahsia. Allah balas kebaikan itu, bukan pada mereka, tapi pada anak-anak mereka. 






Hidup ini memang saling berkait. Kita tak tahu doa siapa yang sedang memayungi langkah kita. 

Sebab itu, bila saya dengar orang mengeluh tentang rezeki orang lain, saya hanya mampu senyum. Saya tahu, setiap orang ada jalannya sendiri. Di sebalik semua kebahagiaan dan kemewahan hari ini, ada air mata yang telah banyak tumpah sebelumnya.  Ada duka masa kecil yang pernah dilalui, yang hanya Allah sahaja tahu. Jadi, kita tak boleh hanya lihat hasil tanpa memahami perjalanan. 

Maka, jangan pernah menyesal berbuat baik walau dengan orang yg salah. Jangan pernah putus harap. Jangan berasa tidak diadili kerana anda sorang je yg berkorban untuk adik beradik, yang lain2 hanya datang makan. Mungkin hasilnya bukan anda yang lihat, tapi anak-anak anda nanti. 

Apa pun, teruskan berbuat baik, walau sekecil mana. Kerana setiap kebaikan ada sahamnya di sisi Allah. Dan doa kita, biarlah sentiasa mengiringi: moga Allah pelihara anak-anak kita dengan rezeki yang berkat, hasil daripada usaha, doa, dan kebaikan kita hari ini. Kerana kadang-kadang, rezeki itu bukan tentang kita. Tapi tentang apa yang kita tinggalkan.


Tuesday, May 6, 2025

Ada tak orang menyesal lepas berdoa?

Assalamualaikum w.b.t.

Kak Mirror is back!.   Terbaca tadi, random post.. ada orang ni balik umrah, tetiba ujiannya bertimpa-timpa lantas mengadu dengan mutawif, then mutawif minta dia “menyedut” balik doa apa yang pernah dipanjatkan masa di sana.  Cara nak “kansel doa” tu tak tahu la pulak saya, orang tu tak cerita habis. 😅.  Kalau u guys ada, sila tinggalkan di ruang komen. 

Begitulah puan2.  Kadang-kadang, kita berdoa tanpa benar-benar memahami bagaimana Allah akan memakbulkan doa itu. 

Ada yang minta “Ya Allah, lapangkan aku untuk beribadah kepada-Mu”… lalu Allah ambil sesuatu yang disayang, supaya punya lebih banyak masa untuk sujud, berdoa, mengadu hanya kepada-Nya. 






Guess what?. Tak lama kemudian, suaminya berkahwin lagi. Dan tiba-tiba, dia benar-benar punya masa, masa yang dulu dihabiskan untuk melayani suami, kini diganti dengan masa bersama Allah. Pada awalnya, dia terluka. Tapi kemudian dia teringat doanya… mahu tak mahu dia terpaksa redha. 

Ada juga yang berdoa, “Ya Allah, cukupkan aku, berilah aku RM1 juta untuk selesaikan semua hutangku.” Dan tak lama kemudian, suaminya meninggal dunia… meninggalkan wang hibah yang nilainya persis seperti yang diminta. Allah makbulkan doa itu, cuma dengan cara yang tak pernah dia bayangkan.  Nauzubillah.

Dan ada seorang lagi… berdoa, “Ya Allah, jauhkanlah aku dari orang yang menzalimi aku.” Sejak itu, dia sering berjauhan dengan suaminya, PJJ (LDR), suami yang selalu ditugaskan ke luar, jarang pulang, malah makin menjauh emosinya. Lama-kelamaan, dia sedar… rupanya selama ini suaminya yang menzalimi dia, secara batin dan zahir. Allah makbulkan doanya, dengan menjauhkan dirinya daripada kezaliman yang dia sendiri tak sedar.

Itulah… doa itu satu senjata, tapi juga satu amanah. Kadang Allah tak beri seperti yang kita mahu, tapi tetap beri, dengan cara-Nya. Jadi berhati-hatilah dalam meminta. Fikirkan betul-betul. Minta yang baik, minta yang membawa berkat, minta yang mendekatkan kita kepada-Nya tanpa perlu diuji dengan kehilangan. 

Kerana setiap doa itu didengari. Cuma… bersediakah kita menerima jalan takdir yang Allah pilih untuk memakbulkannya?.