Isu apa yang viral?. Anak enam tahun masuk darjah satu?. Ada yang risau, ada yang teruja. Menariknya, pengalaman peribadi saya sendiri membawa saya menilai isu ini dari sudut yang lebih luas. Arwah ayah pernah menghantar saya ke sekolah pada usia enam tahun, setahun lebih awal daripada kebiasaan. Ketika ditanya oleh Cikgu tentang alasannya, jawapan ayah sangat mudah:
“Budaknya nak sekolah sangat.”
Itu sahaja. Tapi kata-kata ringkas itu menyimpan satu prinsip yang jarang disebut: motivasi dalaman anak.
Walaupun saya berada dalam kelas bersama murid-murid yang setahun lebih tua, saya belajar menyesuaikan diri bukan kerana fizikalnya sama, tapi kerana hati saya benar-benar mahu belajar ketika itu. Kakak dan abang dah bersekolah, jadi saya bosan di rumah. Semangat itu menjadi pendorong utama, menjadikan setiap pelajaran, setiap rakan, dan setiap cabaran lebih mudah dihadapi.
Faktor seperti kesediaan kognitif, emosi, dan sokongan persekitaran penting. Tetapi tanpa minat dan motivasi anak sendiri, proses menyesuaikan diri akan lebih sukar.
Dalam kes saya, saya bernasib baik kerana ada ayah yang yakin, guru yang memahami, dan suasana sekolah yang tidak terlalu menekan. Tetapi tidak semua anak mempunyai sokongan psikososial yang sama.
Hari ini, bila melihat isu ini kembali hangat, saya tersenyum dan berterima kasih pada arwah ayah saya. Al fatihah.
No comments:
Post a Comment
"Lisanmu adalah Syurga Nerakamu."
Komen anda adalah tanggungjawab anda sendiri. Admin blog tidak akan bertanggungjawab atas komen yg berbentuk umpatan atau kejian.