Wednesday, October 7, 2026

Titik Terendah Seorang Datin

Bersedih jangan berlebihan. Bergembiralah engkau dengan khabar gembira yang telah Allah janjikan, iaitu dengan jalan ISTIQAMAH.

Nak buat apa-apa kena istiqamah, beb! Barulah ada impaknya dalam hidup kita.

Selawat - istiqamah.
Istighfar - istiqamah.
Mengaji - istiqamah.
Sedekah - istiqamah.

Apa-apa saja amalan baik, buatlah walaupun sedikit. Yang penting, berterusan.

Teringat allahyarhamah Tun Hasmah yang istiqamah membaca Yassin setiap hari.

Saya sendiri pernah mendapat nasihat daripada seorang silent reader blog ini, sekitar tahun 2008. Beliau PM saya dari luar negara di FB dan menyarankan supaya saya membaca Yassin setiap pagi.

Ajaib juga kan?.  Orang yang kita tak pernah jumpa, hanya membaca tulisan kita dari jauh, tiba-tiba terasa nak menyampaikan satu nasihat yang baik.

Mungkin sebab tulisan saya waktu tu ada aura-aura kemurungan kot. Hahaha. 😆.  Biasa ler, waktu tu kan saya Mem Besar (Suri Rumah).  Macam2 dihadap sampai burn out.  Yang anehnya, kita bukan tulis straight forward pun, tapi asbab beliau tu orang halim, bagai dapat membaca di balik yg tersirat.

Lepas dpt nasihat tu, saya tak adalah terus istiqamah membaca Yassin setiap pagi pun. 😆 Tapi sampai sekarang saya masih ingat dan sangat menghargai nasihat tu.

Begitulah antara kenangan manis sepanjang saya berblog.

Dan mungkin tanpa saya sedar, istiqamah menulis pun telah membawa saya sampai ke hari ini.  Impaknya… alhamdulillah daku tak nyanyuk utk mengingat tarikh2 penting dlm hidup.  


Saya ada seminar di Putrajaya semalam.  Letih sebenarnya.  Tapi buat2 happy je.  Walau pun penuh makanan yg sedap2, sy terpaksa minta diri awal sebab nak menghirup udara tasik.



Dlm pada saya penat dan tak sabar nak balik tu, tetiba all a sudden kakak saya text, dia kata saya dah lama tak grounding dgn alam.  Eh!.  Macam tau2 plak kakak sy ni. Once habis seminar sy pun berkaki ayam keliling tasik. Tros kembali bernyawa.  Rasa tak sabar nak balik OZ.  Di sana lah erti rehat yg sebenar.





Oh ye.  Semalam, Datin Korma (bukan nama sebenar) bertanya,  ha ini lah isi cerita tentang tajuk atas tu, bukan saya yang DATIN.   Kusss semangat.  

“Miss Mirror… kat mana U menulis dulu tu? Bak sini lah I nak baca.”

Saya tergelak panjang, tapi saya tak akan berinya lagi.

Bukan sebab merajuk. Cuma saya rasa kasihan.

Dulu kehidupannya selesa, selalu travel ke sana sini. Sekarang banyak perkara dah berubah dan beliau sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas perceraian di usia emas, menjadi bread winner dalam keluarga.

Jadi sengaja saya rahsiakan je blog ni darinya sebab saya tak mahu cerita-cerita saya tentang kerja, travel, shopping, atau makan-makan ini membuatkan dia berasa tertinggal dalam hidup atau menambahkan hiba di hatinya dan menyukarkan dia utk move on dari masa lalu.  Walau pun kisah ai ni sekadar kisah2 org2 marhein je beb. 😀.  Sesaja je untuk content bosan-bosan.  Haha.  Tapi penerimaan pasti tak sama bagi orang yg sedang dalam fasa move on, ibarat macam sebijik gelas, kejap2 dimasukkan air sejuk tetiba orang tuang air panas.  Pasti akan retak 1000.

Jadi, selain istiqamah dalam berbuat baik, mungkin kita juga perlu belajar istiqamah menjaga hati orang lain.  Sebab kita tak tahu kebaikan apa yg boleh membawa kita ke syurga.


P/S     :    Patut la ada sorang member saya tu, beliau sebenarnya seorang Datin, tapi mati-mati tak nak mengaku.   Mungkin itu lah persiapannya supaya bila “terduduk” tak de la berat sgt nak move on.  Sebab dunia ini adalah tentang roda, ada kala di atas adakala terpancit di tengah jalan.  


Friday, October 2, 2026

Beli Sunglasses 2 hari 2 malam.


Kita orang Asia ni kalau nak beli kaca mata kena la beli di negara Asia, sebab hidung kita tak sama dengan omputeh. Tak begitu ke Puan2?.  Hahaha.  Jadi sementara ada kat sini, belilah kat sini.

Alhamdulillah siap pun sunglasses saya. Selama ni nak pakai sunglasses lelawo tapi mata rabun, termusnah impian.





Kali ni saya  minta mereka tukarkan lens kepada lens yang ikut prescription mata saya. Ingatkan selesai cerita.

Rupanya… belum selesai lagi. 

Tapi kita ni kena jadi pengguna yang bijak. Jangan sebab dah berkenan dengan sesuatu, terus beli tanpa survey. Rajin-rajinlah tanya harga dan buat perbandingan dulu.

Frame tu saya dah beli terlebih dahulu di sebuah mall terkemuka di KL.  Dlm RM1.6k macam tu.  Bila saya tanya berapa RM nak tambah jika nak tukar kepada lens prescription, jawapannya…

“Kena tambah lagi RM1K.”

Oo… okey. 😅




Kita survey tempat lain pula.  Tukar ke Mall lain pulak.  Giler!.  Dlm sehari merayau dari satu Mall ke Mall yg lain semata-mata cermin mata.

Pergi satu kedai ni, mereka tengok frame saya dan kata tak boleh buat lens yang nipis. Kalau nak buat pun mungkin lens akan terkeluar dari landasan sebab bingkai saya ni besar.

Alamakkk! 

Tak comeylah kalau frame dah mahal, sekali lens pula terkeluar-terkeluar macam nak buat escape plan. 😆





 So, saya pun teringatlah kedai pertama yang saya singgahi kat Depulze.   Seingatnya mereka boleh buat lens nipis.   Nampaknya dorang pun setuju untuk bagi discount sikit.  So kita pun onz.  



Ok nipis dan selesa dipakai.   Alhamdulillah. 

Tuesday, September 29, 2026

Bukan Sekadar Lintasan Hati

Lama tak menyembang dengan seseorang ni. Saya namakan saja beliau sebagai Pn A.


Dalam sembang kami, beliau ada bercerita tentang satu angan-angan. Katanya, kalau boleh, beliau nak menantu perempuan yang kampungnya ada dusun.

Saya tersenyum mendengar.  Menarik pula angan-angan tu.

“Insya-Allah, mana tahu… moga terkabul. Tak ada yang mustahil kalau Allah nak bagi.”


Sebab saya pernah mengalaminya.

Waktu tu, anak kami kecik2 lagi, saya pula student, untuk hilangkan stress hampir setiap petang saya temankan hubby pergi memancing di satu tempat ni sampai larut malam. Pantainya cantik, tapi perjalanan nak ke sana bukan sekadar jalan lurus sampai destinasi. Kena melalui beberapa buah perkampungan yang tenang dan menarik.

Nun jauh di sana… jauh dari hiruk-pikuk bandar Perth.



Sepanjang perjalanan, sesekali kami berhenti di petrol kiosk. Saya beli cappuccino, masa tu belum lagi diet caffeine. 😂

Bukannya ada gerai pisang goreng tepi jalan. Kalau ada, lagi bahagia agaknya. Hihi.

Tapi entah kenapa, suasana kampung yang kami lalui tu buat saya rasa tenang. Rumah-rumah kecil, jalan yang sunyi, pemandangan hijau… semuanya nampak sederhana, tapi ada sesuatu yang menyentuh hati.

Sampailah tanpa sebab yang jelas, terdetik dalam hati saya…

“Bestnya kalau ada sedara kat kampung ni. Boring-boring petang, boleh singgah.”


Tak ada rancangan. Tak ada siapa-siapa pun yang saya kenal di situ.  Paling2 pun kalau dapat Makcik Angkat.

Cuma satu lintasan kecil dalam hati.  Benda ni berulang-ulang setiap kali ke sana.

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, anak2 pula semakin membesar.  Saya pun tak fikir apa-apa lagi selepas tu.   Suami pun dah tak minat memancing lagi, jadi dah jarang ke sana.

Tapi rupanya…

Ada benda yang Allah sedang susun, perlahan-lahan, tanpa saya sedar.

Dan bila saya pandang semula ke belakang, baru saya faham… “Oh kat situlah rupa-rupanya anak menantu saya tinggal.   Patutlah kami asik nak memancing kat sana.  Haha.   Suratan dan kebetulan.   Walau pun insiden yang menemukan mereka bukanlah kerana terjumpa di tempat memancing atau jalan-jalan di situ.”

Kadang-kadang, apa yang kita sangka cuma lintasan, sebenarnya mungkin sudah menjadi sebahagian daripada doa yang Allah sedang aturkan sebab kita ni cuma nampak hari ini, Allah dah nampak keseluruhan cerita hidup kita.

Sekian.


Tuesday, September 15, 2026

Kakak Ipar Meninggal dan resepi cilok


Assalamualaikum w.b.t

Allah itu Maha baik sekali.  Meski sering terpisah benua, selalu direzekikan untuk membuat penghormatan terakhir jika insan-insan yg dikasihi pergi.   Kakak ipar saya, Rahmah a.k.a Roha  telah kembali ke rohmatullah pada Jumaat yang lalu.  Pergi pada usia Nabi SAW wafat.


Sudah pastilah sangat menyedihkan,  arwah sudah menjadi sebahagian dari cerita kami bila pulang ke kampung saya,  sebab rumahnya berdekatan dengan rumah arwah Mak, tapi saya tak mahu terus larut dalam kesedihan.  Saya dah setkan dalam minda saya, 

“Kak Roha dah bahagia di sana, berehat dengan tenang.”


 Pulang dari ziarah, saya ikut kakak (Ustazah SA) melepak di rumahnya.  Jalan-jalan ke pasar, teman kakak buat cilok.










Sedap betul menu-menu macam ni, ni my neice ( si Una) yg masak.  Menambah2 plak kita makan.



Berehatlah dengan tenang di sisi-Nya wahai Kak Roha.
Tugasanmu di dunia telah pun tamat.


Pukul 6.30 pm  pula saya nak kena balik rumah MIL sebab takut kereta kuda Cinderlla bertukar jadi labu, jadi tak sempat lah nak makan cilok tu, cuma dapat rasa sebijik sebelum kuah disiapkan.


Sejujurnya hati masih sedih dengan kehilangan.  Tapi pertolongan Allah itu sentiasa ada.  Tiba-tiba hubby ajak jenjalan rumah abang (Ustaz Baha) malam esoknya.   Terus mampu tersenyum semula.   Ternyata terapi untuk sebuah kesedihan adalah bersilaturahim sesama keluarga.


Buat susah2 je kakak ipar saya ni (Ustazah Latifah) siap masak2 bagai.    Terima kasih.




Balik tu Abang Baha bagi saya duit.  😍😍.   Alamak!.  Best pulak jadi adik, bukan saja boleh perasan muda, dapat duit lagi!!.   Thank you!!.


 

🌶️ CILOK PEDAS BY MISS MIRROR 🌶️

Bahan-bahan cilok:
• 20 sb tepung gandum protein sederhana
• 1 sb chicken stock
• 1 sb garam
• ½ sb lada putih
• Daun bawang, dihiris kecil
• 3 ulas bawang putih, ditumbuk/parut
• 2 cawan air
• 20 sb tepung ubi

Cara membuat:

  1. Masukkan tepung gandum, chicken stock, garam, lada putih, daun bawang, bawang putih dan air ke dalam periuk.

  2. Kacau rata dahulu, kemudian hidupkan api.

  3. Kacau sehingga adunan sebati dan menjadi pekat.

  4. Tutup api. Semasa adunan masih panas, masukkan tepung ubi dan gaul rata.

  5. Bila adunan dah agak suam, uli sehingga menjadi doh.

  6. Bentukkan bulat-bulat dan susun atas dulang.

  7. Didihkan air dalam periuk besar. Masukkan bebola cilok dan rebus sehingga masak. Bila cilok timbul, biarkan seketika sebelum angkat dan toskan.


Tip utk kekal lembut walau pun ketika sejuk - kukus setelahnya.


🌶️ Sos Kacang Pedas

• Kacang tanah goreng, ditumbuk kasar
• Cili merah/cili padi, ikut tahap kepedasan
• 2 ulas bawang putih
• Sedikit gula merah
• Sedikit garam
• Air secukupnya
• Sedikit kicap manis

Tumis bahan yang dikisar, masukkan air dan gula merah. Bila dah mendidih, masukkan kacang tanah dan kicap manis. Masak sampai sos pekat.

Siap! 🤤🌶️


Tuesday, September 1, 2026

Mr Bargain Perth: Ada Apa Dalam Ni?.

“What a bargain!” → Murahnya! Berbaloi betul!
“I got it for a bargain.” → Saya dapat dengan harga yang murah.

Semua mesti dah biasa dengar dialog macam ni kan?.  (Apa Sam ni?.  Of course lah).    Tapi kedai Mr Bargain di Cannington ni mesti pertama kali dengar sebab ini kedai baru.  Anak-anak saya pun belum pernah pegi lagi.  Bila Mama Abah ajak semuanya tak nak ikut sebab tengah jadi ulat buku kat rumah.



Cuaca dah mula panas hari ni tapi tetap standby dengan baju sejuk takut-takut senja bertukar suhu.


Hanya pandang sekali rawak je sebab fokus saya bukan di area ni, tapi nak cari kasut.



Dress-dress yang terjual.  Tapi semuanya short sleeve.



Nak pilih kasut, kena rajin ambil sendiri dari rak ikut saiz kaki. Brand pun random, dan nasib-nasiblah kalau jumpa saiz yang ngam.   Nampak kasut Clark yang elegant tapi tak de saiz pulak.😅

Sekali cuba Timberland ni… sedap giler! 😍 Tak sangka pula. Brand ni memang belum pernah masuk dalam koleksi kasut saya. Discount tak adalah banyak sangat, tapi bila compare dengan harga Malaysia, boleh tahan murah juga di sini dalam 50% macam tu.  Tapi jika dibanding dengan belian on line dari butik Timberland sendiri kedai ni lebih mahal dan mungkin saya akan kerugian dalam RM60 macam tu.   So… disebabkan saya adalah “Menteri Kewangan” yang kedekut di rumah ini, saya KIV je lah dulu. 😛.

Tip pegi kedai kasut - pakailah kasut yang selesa dari rumah, supaya anda tak tergoda dengan kasut baru.


Lokasi :  7/1296 Albany Higway, Cannington.


Monday, August 31, 2026

Salam Merdeka dari Perth, Australia


“🎼🎼Biarlah jauh dari pandangan daripada dekat penuh siksa. Biar berduka biar melara, dari sengketa sepanjang masa.🎼”

Salam Merdeka Malaysiaku. Bersiaran dari Bumi Perth, Western Australia.

Hari ni saya bawakan anda ronda-ronda DFO. DFO ni kalau kat Malaysia macam JFO dan sebagainya tu lah.


Ni kalau you guys naik bas dari Perth Airport menuju ke Terminal 3 memang akan nampaklah bangunan DFO ni. Tapi saya tak pernah la plak nampak orang turun ke DFO ni, tak pasti tang tu. Selalu mereka akan terus ke Station Redcliffe dan menuju haluan masing2.




Pintu masuk.



Ni la antara kedai-kedai handbag yg telah berjaya menghabiskan duit saya ketika pandemic antaranya Coach, MK, Oroton, CK dan lain2 lagi. Dulu ada Fossil kat sini, sekarang dah tutup.


Tak banyak tempat sempat disinggahi, just dapat beli winter coat CK untuk next season pastu blah sebab nak beli grocerries kat tempat lain.  Winter dah nak habis pun beli winter coat lagi Sam ni kan?.   Dari bulan lepas kita mengidamkan baju ni.   Tak pe la, simpan je untuk tahun depan.








Ada food court tapi selalu ke sini untuk minum-minum je sebab bukan semua menu halal.


Friday, August 28, 2026

Shawl Uniqlo untuk kawan-kawan Aussie

Kawan-kawan Aussie tak kira warna kulit dan budaya selalunya memang suka trend hijab style Malaysia.  Happy jika dibelikan.  Pernah sekali saya belikan tudung dari Thailand sebagai ole ole, mereka macam…  “Eh!. Why different?”.   Of course la berbeza sebab saya cuma beli di pasar Chatuchak je, bukan di butik.  Hihi.

Saya yang orang Malaysia ni pula adakala suka style negara lain pula.  Tapi sampai sekarang teringin nak beli kerudung hodie Jodja, tak terbeli-beli. Masa pergi Jodja dulu, dah plan nak singgah tapi tak sempat.   Kat Malaysia tak de jual, cantik di mata saya sebab bersulam-sulam.


 




Ni pula kisah kawan Aussie yang mengidamkan instant shawl dari Uniqlo, kat Australia mana ada jual.  Uniqlo di setiap negara pasti lah berbeza-beza, sesuai selera pengguna tempatan.

Lantas kami carikan di Kay Ell, rupanya dah sold out. Yang tinggal ni pulak bukan jenis instant.  Ahh kalau yang sekadar plain macam ni, kat Aussie pun banyak. Walau pun brand lain, $10 dah boleh dapat yang cantik-cantik.  Hahaha.




Sayangnya tak ada pulak sample untuk dicuba, jadi kansel lah nak beli lebih sikit, so kita belikan je member tu selai warna cream ni, RM60.00.   Harap-harap dia suka.


Selain dari Uniqlo,  baru-baru ni saya TERmasuk ke butik Tudung People.   Selama ni nak beli macam was-was sebab kain licin.   Bila dah pakai dan ia menukar diri kita menjadi lebih classy, rasa macam best pulak lah pakai.


Saturday, August 22, 2026

Misteri Tingkat 10

Nota :   Sebab ini adalah cerpen, jadi kita “berAKU2” sajalah ye supaya lebih puitis.

Petang itu, aku masuk lif bersama mak mentua. Hanya kami berdua.

Setiap kali masuk lif, aku akan pastikan beliau betul-betul dah masuk sebelum aku tekan nombor tingkat sebab beliau takut sikit bab-bab ini, lagi lah kalau suamiku tak ada sama.

Petang itu pun begitu.

Aku tunggu beliau masuk, kemudian baru aku tekan punat nombor tingkat yang kami ingin tuju.

Pintu lif tertutup dan mulalah bergerak ke atas.

Tiba-tiba…

Tet tet tet…

Bunyi seperti ada seseorang menekan punat.

Aku terus menoleh ke panel.  Nampak nombor 10 dah pun bertukar merah tanda telah ditekan.  Sudah pastilah tiada  sesiapa di situ sebab memang cuma kami berdua je yang masuk sejak dari level 1 tadi.

Kami berpandangan.   Diam penuh makna.

Beberapa saat kemudian, lif bergerak dan berhenti di tingkat 10.

Ting!

Pintu terbuka.

Agak lama juga pintu terbuka tapi tiada sesiapa pun di luar.


“Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahis-shalihin" 

(Salam sejahtera ke atas kamu dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh).   Kami berdua membaca perlahan sebagaimana lazimnya jika masuk ke rumah-rumah kosong.


Mak tak cakap apa-apa. Aku pun buat selamba, walaupun dalam kepala mula bermonolog.  Tapi bulu romaku tak de pulak merinding.  Entahlah,  mungkin darah pahlawan masih menjalar kot.






Sampai ke destinasi, Mak  terus masuk bilik dan mandi. Aku tak pasti,  mungkin takut ada sesuatu yang mengikut sekali atau sebab dah belengas seharian berjalan. 😂  Agak lama juga menunggu, lebih lama dari biasa, dah la aku belum solat asar lagi, perlu ambil wuduk di bilik yang sama.

Lepas solat, aku tanya semula.

“Mak… jangan-jangan tadi Mak tersandar dekat dinding lif?. Kot-kot badan Mak tertekan butang lif tu?.”

“Tak! Mak tak tekan.”  Ujarnya tegas.

Aku diam.

Kalau begitu, siapa?.


Ah biarlah.  Marilah kita “sains”kan saja hal ini supaya hidup tak diselubungi misteri.

Sebenarnya, dari sudut sains, ada beberapa kemungkinan. Lif menggunakan sensor, panel elektronik dan sistem kawalan yang boleh mengalami gangguan atau menerima isyarat secara tidak sengaja. Jadi, bunyi tet tet tet dan lif berhenti di tingkat tertentu tidak semestinya bermaksud ada hantu.   


Sesiapa pernah mengalami hal yang sama, bolehlah tinggalkan komen.   Tak kisah la versi seram atau saintifik.



Sunday, August 16, 2026

Destina Putrajaya - Mall baru di sebelah Putrajaya Central

Dari kisah Perth, kita melompat ke kisah Malaysia pula. 
Selalu confused di antara Putrajaya Central (MRT station) dan yang dua lagi tu, maka haruslah dibelogkan.   

“Yang dua lagi” maksud saya Cyberjaya Utara dan Cyberjaya City Centre.

Kebetulan pula tengah nak meninjau transit-oriented retail mall yang baru dibuka bersebelahan dengannya iaitu DESTINA.



Ini Putrajaya Central.    Ok jgn nak confused2 lagi.



Laluan menuju ke Destina Mall.




 




Itu lah bangunan Destina (Mall) dari laluan Putrajaya Central tadi. 


Bangunan parking yang mempunyai 8 tingkat parking dan lebih 3,000 ruang.
 

Di antara booth2 yg telah dibuka di Destina.



Jejantas menuju ke hospital.


Belum banyak kedai yang dibuka, akhirnya singgah lah ke Ikea.  Tapi Ikea kat sini hanyalah pop up store - lebih kepada tempat untuk meninjau2, plan dan order, bukan full IKEA store yang ada show room bagai.

 Antara kedai lain yg dah dibuka ialah  barangan dari Timur Tengah.  Singgah situ kejap dan hubby membeli bukhoor.. lupa plak nak snap gambar kedai dan Pak-pak Arab yang ramah tamah tu.
  

Thursday, August 13, 2026

Cerita tentang masa lalu...


Hidup ini tiada siaran ulangan, yang ada hanyalah kenangan.  Menoleh ke belakang boleh tapi jangan berlama-lama dan menangisi ujian  yang berlalu kerana boleh jadi dengan ujian dan penantian yang pernah kita tangisi itulah jalan yang Allah pilih untuk membawa kita kepada nikmat yang kita kecapi hari ini.

Pagi-pagi ni tetiba teringat zaman pandemic, dalam sedih ada juga bahagia ketika itu.  Hari Jumaat selalu dinanti-nantikan sebab ada aktiviti menghantar  si bujang solat.   Lepas solat kami akan reward diri sendiri dengan food hunting atau shopping.  (Paling menyesal sebab asik terbeli hand bag, masa pandemic banyak sale.  Mesin jahit pun dpt dibeli dgn hanya 15 AUD, skg mmg tak dpt lah).




Di sesetengah mesjid di Perth, solat Jumaat diadakan dalam dua sessi.   Jadi bila tertinggal sessi pertama, masih ada lagi "talian hayat".   Sessi pertama selalunya khutbah dalam Bahasa Inggeris, manakala sessi kedua pula menggunakan bahasa utama komuniti mesjid tersebut. Contohnya, jika mesjid itu didominasi komuniti Arab, khutbah sessi kedua akan disampaikan dalam bahasa Arab.  Tapi ada sebuah mesjid Turki (Sulayeman Mosque) membacanya berselang seli dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

Mesti ada yang tertanya-tanya kenapa disebut "Mesjid Turki', "Mesjid Bosnia" dsbnya.  Owhh.. sebab ia dibangunkan oleh orang-orang dari komuniti yg disebutkan.  Bagi orang-orang Indonesia juga, ada mesjid yang telah mereka bangunkan iaitu Mesjid Al Latief nun di Langford.   Cuma  belum pernah dengar lagi lah mereka menyebutnya sebagai Mesjid Indo.  Hihi.

Menariknya, khutbah2 Jumaat di sini pula biasanya disediakan oleh Pak Imam sendiri dan banyak berkisar tentang isu-isu semasa serta kehidupan seharian.   Bila dengar memang menusuk terus ke hati.





Laluan ke sebuah mesjid di Northbridge yang menjadi tumpuan pelancong kerana lokasinya yang paling dekat dengan bandar.

Gambar bawah pula sebuah mesjid lain yg masih dalam proses pengubahsuaian.





p/s   :   Setelah apa yang dilalui ini, senyum tangis berdua kita dahulukala,  Mama doakan moga anak Mama akan terus cemerlang di dunia dan akhirat, jadi anak yang soleh, berjodoh dengan wanita solehah yang caaaaantikk dan bijak!.   Aamiin Ya Robbal Alamin.


Saturday, August 8, 2026

Asik ngadap screen tapi result gempak.


Sebagai ibu saudara, kita pun tumpang happy bila anak-anak buah berjaya sambung belajar. Lagi-lagi kalau perjalanan nak sampai ke situ penuh dengan kejutan. 😄

Si Danish ni kalau ikut cerita ibunya, bukanlah jenis yang nampak macam kuat sangat belajar. Kami pun tak pernahlah meletakkan harapan yang tinggi-tinggi. Dah ibunya selalu merendah diri macam tu, saya pun percayalah.  Hahaha. Tiba-tiba bila keputusan SPM keluar aritu,  alhamdulillah osem.   Masyaallah tabarakallah.

Dulu kecik je budak ni, rambut kerinting2, bulu mata lentik.  Selalu jadi “model” tak berbayar kat blog Makciknya ni.  Sekarang dah nak melangkah ke alam universiti pula. Cepat betul masa berlalu, semakin muda la nampaknya Auntie Samnya ni.

Sebagaj persiapan, ibunya ada bertanya kepada saya, perlu ke beli luggage lagi untuk dia?.   Saya faham soalan itu sebab mereka akan pegi berhantar kereta.  Mungkin ingat nak punggah gitu je dalam kotak2 besar.

Walau pun di hari pendaftaran akan berhantar kereta tapi pada saya luggage pun sangat penting masa nak balik kampung nanti. Lagi-lagi zaman sekarang, assignment banyak yang memerlukan laptop. Jadi bukan setakat pakaian dan barang peribadi, laptop pun kena dibawa ke sana sini.



Tambahan pula universiti nun jauh di utara, sedangkan kampung di selatan. Kalau balik kampung naik bas, perjalanan pun bukan dekat. Takkan nak balik kampung dengan punjut kain pelekat pula. 😅.    Sekadar back pack je tak cukup rasanya utk balik kampung, itu kalau zaman saya blaja dululah.

Luggage yang sederhana besar tu, pada saya memang satu keperluan. Sepanjang tempoh belajar nanti, mesti ada masa nak balik kampung, pindah kolej, cuti semester, internship dan sebagainya.

Akhir kata, Auntie Sam doakan moga Danish terus berjaya, begitu juga anak2 sedara yg lain2 (sorry ramai sangat anak buah sampai tak tertulis nama yg lain2 di sini, lagi pun atas faktor privacy juga) dan anak2 puan2 di luar sana.   Teruskan kuat semangat ye, sabar lah menghadapi apa jua rintangan mendatang.

p/s. :   Tapi makciknya ni pulak berpuluh2 buah  luggage dibeli, sudahnya yg sedap dipakai cuma luggage haji dari agensi travel tu je lah, yg setia berkhidmat hingga kini.  Sbb tak de terjual di mana2.  Elok kejadiannya & praktikal.  Senang juga untuk hand carry dlm flight.



Friday, August 7, 2026

Hidup bermandikan minyak wangi.

Assalamualaikum w.b.t

Walau pun tak bermandikan intan berlian, syukurlah di hari-hari yang semakin senja ini, hidup Mama bermandikan minyak wangi.  😂 MasyaAllah.

Cuma si Ain ni ada satu perangai misteri. Kalau dia beli hadiah, bukannya dia hulur sambil bagitau..

"Mama, this is for you." 

Tidak. Senyap-senyap je letak dalam gerobok. Sebulan kemudian barulah kami perasan. Itu pun sebab abah dia ternampak ada kotak terselit dalam beg ole-ole yang Ain belikan untuknya.

Mama pun mulalah berteka-teki dalam hati.

"Eh... ni dia tertinggal ke?"

Nak buka, apatah lagi nak pakai, memang serba salah. Sampailah baru-baru ni Mama tanya sendiri. Rupa-rupanya memang untuk Mama, dia kata dah cakap tapi Mama tak dengar.  Ya ke??.   Aduhai busy sangat Mamanya sampai anak cakap Mama tak dengar.  😅


Abercrombie & Fitch


Antara koleksi lain yang Ain dan abah dia dah belikan.

Eau de Parfum (EDP) ialah sejenis minyak wangi yang mempunyai kepekatan minyak pati (fragrance oil) sekitar 15–20%.

Ini bermaksud:

  •  Baunya lebih kuat daripada Eau de Toilette (EDT).
  •  Ketahanan biasanya sekitar 6–8 jam, malah boleh lebih lama bergantung pada kulit dan cuaca.
  • Cukup sembur sedikit kerana harumnya lebih pekat.

Perbandingan ringkas:

  • Parfum / Extrait de Parfum – 20–40% (paling pekat, tahan paling lama)
  • Eau de Parfum (EDP) – 15–20% (tahan lama, sesuai untuk kegunaan harian dan majlis)
  • Eau de Toilette (EDT) – 5–15% (lebih ringan, sesuai cuaca panas)
  • Eau de Cologne (EDC) – 2–5% (sangat ringan, cepat hilang).

Hadiahnya bukan sekadar harum baunya, tapi mengharumkan hati Mama juga.   Thanks Sayang Mama.


P/S :   Hidup ni ibarat putaran roda, kita belikan MIL aritu, tetiba anak plak belikan kita.  Masyaallah tabarakallah.



Wednesday, August 5, 2026

Menua Bersama Jiran

Berbalik kepada kisah depression yang saya sebut semalam, itu semua past tense ya. 😂 Alhamdulillah, semuanya sudah lama berlalu. Saya sekadar throwback dan berkongsi sedikit pengalaman, mana tahu boleh memberi manfaat kepada mereka yang sedang melalui fasa yang sama.

Sebenarnya, selain menikmati keindahan alam, ngopi-ngopi bersama orang yang tepat juga mampu menjadi terapi yang menenangkan jiwa.

Itulah sebabnya kami selalu merindui jiran lama kami, seorang wanita British berusia emas yang sangat penyayang dan baik hati. Beliau selalu mengetuk pintu rumah, mengajak saya berbual, dan ada kalanya kami keluar menikmati secawan kopi di pusat beli-belah berdekatan.

Namun, Allah hanya meminjamkan kesempatan itu buat seketika. Beberapa tahun kemudian, keadaan demensianya semakin teruk sehingga anak-anaknya terpaksa membawanya berpindah jauh dari kawasan tempat kami tinggal. Sejak itu, kami terus terputus hubungan.

Walaupun yang tinggal hanyalah kenangan, segala nasihat, pengalaman dan ilmu yang pernah beliau kongsikan masih terpahat kemas di hati.

Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan jiran-jiran yang baik di sekeliling kami. Antaranya Madam Salvoz (bukan nama sebenar). Hujung minggu lalu, beliau menghantar mesej mengajak kami keluar ngopi-ngopi. Kebetulan saya sudah merancang untuk keluar bersama hubby dan anak-anak, jadi saya terus mengajaknya membawa sekali suaminya. Lagi meriah kalau dapat bersembang beramai-ramai.


 



Beliau bersetuju untuk jumpa saja di Canningvale Market.
Tapi sampai sana orang dah penuh pulak.  Kami makan dulu sebab makanan kat sini laris, lambat sikit memang kelaparan lah.  Madam Salvoz dan Mr P pulak tak sampai-sampai lagi.   Kami pun faham, masing2 dah berusia, mesti la banyak perkara nak dibuat sebelum keluar rumah.    

Dan seperti yang dijangka... memang betul. 😂😂😅 Habis sahaja kami makan, kebanyakan makanan di gerai pun  licin. Akhirnya, kami sepakat untuk sambung bersembang dan melepak di rumah mereka sahaja.




Kami memang rindu nak melepak kat rumah mereka ni, ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.  Madam Salvoz ni pula tangannya memang ajaib, sekadar masak megi pun sedap giler.  



Turut dihidangkan kek lapis Indonesia dan halwa maskat. Satu set yang ada baklava itu pula kami belikan mereka masa kat pasar tadi.  Tersama pulak apa yg dibeli. 😅


p/s :  Bercampurlah dengan orang yang positif kerana emosi itu berjangkit. Individu toksik hanya menguras tenaga, emosi dan fokus anda.

Tuesday, August 4, 2026

Swan Valley and Guildford

Masa sakit kepala awal tahun aritu (yang rupa-rupanya Doktor kata akibat depression 😅).   Doktor ada mencadangkan untuk jalan-jalan ke Swan Valley.   Kita dengar pun terus membayangkan hamparan rumputnya yang menghijau, ladang-ladang anggur yang luas, deretan kedai-kedai menjual madu jarrah dan keramahan warganya melayan pelanggan.   Belum sempat ke sana, 80% sakit dah dibawa pergi asbab dengar perkataan “Swan Valley”.   Pandai Doktor tu bermain physcology.

Setelah berbulan cadangan itu diberi, baru kali ni  berkesempatan  pegi.   



Tapi suasana banyak berubah, perkampungan yang pernah kami kunjungi dulu dah banyak dibangunkan menjadi perumahan moden.     

Pegi pun dah lambat, maka banyak la kedai dah tutup.   Selalunya jika pegi awal pagi, kami akan  ke kilang coklat sekadar untuk ngopi dan makan chip (kentang goreng).



Singgah solat asar di Mesjid Swan Valley (Mesjid Bosnia).


Tempat solat wanita di tingkat atas.


Di bawah tu pula dewan, lazimnya orang sewa untuk majlis pernikahan, jika tiada acara pula, ruang itu adalah kedai makan (selalunya hanya dibuka pada hari Jumaat).   



Ruang solat perempuan berkunci, saya tak menyimpan passwordnya, jadi solat saja depan pintu ni, selesa saja.







Guildford.    Di sebelah kanan jalan ni terletaknya Guildford Village Potters.  Ia sebenarnya lebih kepada studio, galeri dan bengkel tembikar.  Masa anak2 kecik dulu pernah juga melawat galeri ni.   

Lokasi di :  22 Meadow Street, Guildford WA 6055

Ia terletak betul-betul bersebelahan Swan Valley Visitor Centre, jadi memang mudah disinggahi jika anda sedang berjalan-jalan di Guildford atau Swan Valley.

Di kiri jalan ni pula ada tempat rekreasi dan tinggalan sejarah jika nak posing2 di depan tugu-tugu peringatan.


 

Oleh kerana kilang madu dan coklat dah tutup, kita tengok je lah makhluk-makhluk ciptaan Allah dari kejauhan ni je.







p/s : 

Bila teringat preskripsi Doktor tu tadi, dapat dirumuskan, kadang-kadang yang kita perlukan bukan ubat yang lebih kuat, tetapi sesuatu untuk kita nanti-nantikan. 

So, plan a trip. Bila kita plan percutian, otak kita akan terangsang dengan Dopamine. Bila Dopamine meningkat, motivasi kita untuk bergerak ke arah goal tersebut semakin tinggi.

Ada destinasi yang membuatkan hati terasa lapang sebelum kaki sempat melangkah.   Malah sekarang ni pun saya asik berangan nak staycation di homestay-homestay kampung yang ada cemni atau unggun api sambil disajikan sup cendawan panas dan mashed potato.       Jika di Malaysia pula impian saya untuk tinggal di homestay yang ada bunyi hujan lebat, lampu yang malap dan sekali sekala tuan rumah menghidangkan lempeng cicah sambal hijau.😂.  Anda pula bagaimana?.