Senja turun perlahan, membalut dunia dengan cahaya keemasan yang lembut. Turinem, bukan nama sebenar duduk di sebuah Coffee House, menatap keluar melalui tingkap besar. Jari-jarinya mengetuk perlahan permukaan meja kayu, seiring degup resah yang tak mahu reda.
Hatinya bergelora. Wanita yang menggugat rumah tangganya, si Sonia (bukan nama sebenar), kini mengunci profil media sosial pula.
“Arghhhh! Macam mana aku nak pantau perangai wanita tak bermaruah tu?” getus hatinya, geram.
“Jangan la begitu, Tory. Setiap perbuatan buruk ada kifarahnya,” pujuk Miss Mirror, cuba memecahkan benteng resah di hati Turinem.
“Tapi sampai sekarang aku tak nampak apa-apa pun jadi pada dia...” jawab Turinem, suaranya bergetar, mata masih memaku senja yang memerah lembut di ufuk.
“Astaghfirullah...” Miss Mirror menarik nafas dan menyambung kata..
“Wait. Sebenarnya doa kau dah pun termakbul, cuma kau tak nampak. Kau kata dia lock profile, kan? Ha! Itulah permulaan doa kau dikabulkan.”
Turinem berkerut. Dia tidak mengerti. Pandangannya jatuh pada permukaan meja, melihat pantulan senja yang pecah berderai di atas pasu bunga. Nafasnya tidak stabil.
Miss Mirror menyilangkan tangan, wajahnya lembut namun sarat makna.
“Tory… kau fikir Allah tak buat apa-apa?. Sebenarnya Dia tengah jauhkan kau daripada benda yang menyakitkan hati kau.”
Turinem hanya diam.
Miss Mirror bersandar sambil memusing straw minumannya… menyambung kata.
“Kau ingat tak, setiap kali kau stalk dia, hati kau jadi panas? Hati kau hancur. Kau terbakar dengan luka lama. Elok2 kau dah happy kau jadi bergaduh suami isteri. Bila dia lock profil… itu bukan kekalahan kau. Itu perlindungan Allah.”
“Allah tutup pintu yang mengganggu jiwa kau. Dia tak nak kau terus terdedah pada benda yang menggelapkan hati. Dia tenangkan dulu orang yang teraniaya sebelum Dia menguruskan orang yang menzalimi.”
Miss Mirror menunduk sedikit, menatap Turinem seperti seorang guru yang sabar mengajar murid yang hampir faham.
“Tory… doa orang yang teraniaya itu gelombang halus yang naik ke langit. Bila kau berdoa, pintu langit terbuka. Tapi Allah tak terus menurunkan balasan pada Sonia sebab hati kau belum sembuh lagi. Allah lebih sayang pada yang disakiti. Dia rawat dulu luka di hati kau, supaya kau tenang.. sebelum pihak yg menzalimi diuruskan.”
Turinem terdiam. Angin penghawa dingin menyentuh kulitnya, seakan satu belaian lembut yang menenangkan.
Miss Mirror menyambung, perlahan tetapi menusuk jiwa:
“Bila hati kau dah reda… bila kau tak sibuk nak pantau hidup dia lagi… barulah kifarah turun. Insha Allah. Balasan Allah bukan ikut rentak kita. Dia ikut hikmah. Ikut masa. Ikut keadaan hati.”
Turinem menelan air liur. Ada sesuatu dalam dirinya bergerak seperti ais yang lama membeku, kini mula mencair.
Beberapa minggu kemudian, Miss Mirror menemui Turinem di tempat yang sama. Kali ini wajah Turinem jauh lebih tenang.
“Kau perasan tak?” Miss Mirror memulakan bicara sambil menjentik straw. “Sejak dia lock profile, aku tengok kau tak lagi tertekan. Kau tidur lebih lena. Itu semua tanda Allah menyelamatkan kau daripada gejolak diri kau sendiri.”
Turinem menarik nafas panjang. Ada kelegaan yang perlahan-lahan masuk ke dadanya, seperti cahaya senja yang meresap dari tingkap.
“Ya… aku akui. Tapi… jahat tak aku, Miss Mirror? Kadang-kadang aku nak jugak tengok dengan mata kepala sendiri kifarah berlaku ke atas dia. Hahaha.” Suaranya lirih, malu-malu.
Miss Mirror mengangkat kening.
“Tak perlu risau. Orang yang menganiaya orang lain, Allah yang uruskan. Memanglah kau tak nampak. Tapi percayalah hidup dia sendiri akan jadi sempit. Rezeki tersekat. Orang sekeliling menjauh. Rumah tangga sendiri retak. Banyak berlaku di belakang tabir, tak semua kau perlu lihat.”
Turinem menggigit bibir.
“Tapi… macam mana aku nak tahu semua tu… kalau aku dah tak boleh stalk lagi? Hahaha.” Gelaknya kali ini lebih panjang, lebih ringan.
Miss Mirror tersenyum kecil, menyimpan sinar hikmah di hujung bibir.
“Tory… bukan semua kifarah perlu kau tengok. Ada yang Dia sembunyikan sebagai rahsia antara Dia dan pelaku. Kau tak perlu tahu. Kau hanya perlu tenang. Itu tujuan Dia.”
Senja di luar semakin tenggelam. Jingga bertukar unggu gelap. Dunia tampak lebih senyap… namun hati Turinem terasa lebih lapang daripada sejam sebelumnya.
Miss Mirror meneguk minuman terakhirnya.
“Tory… kau tak kalah. Kau sedang disembuhkan.”
Turinem memejamkan mata, menghirup udara dalam-dalam.
Bersambung… part 2.
Nota :
Kepuasan menulis adalah apabila kita menghasilkan cerpen walau pun untuk bacaan sendiri. 😄😄.


X sabar nk tgu sambungan.. teruskan kak.. i follow
ReplyDeleteThanks Kak Mim.. sila baca sambungan di
Deletehttp://sam-puansyurga.blogspot.com/2025/12/cerpen-kifarah-part-2.html?m=1
Baguuus lah kak👍👍👍. Macam pengalaman benar juga.
ReplyDeleteAgree dengan cerita ini. Kadang Allah nak melindungi kita dari segala yg menyakitkan hati, pakai cara Dia . Lagipun kalau saya pribadi nih, yg disakitkan seperti itu, saya tak akan Sudi stalk akun orang yg menyakitkan saya🤭. Buat apa kan. Malah akan saya block selama2nya😁. Tenang mata dan hati