Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Tuesday, December 2, 2025

CERPEN - Kifarah Part 2



Sambungan dari Part 1.

Miss Mirror meneguk air longan kesukaannya, manis dan dingin.

“Tory… kau bukan kalah. Kau sedang disembuhkan.”

Turinem memejamkan mata, menarik nafas dalam-dalam. Untuk pertama kali sejak sekian lama… dadanya terasa ringan, seperti ada ruang baru untuk bahagia.

Di sepertiga malam, ketika dunia sunyi, Turinem menadah tangan.


“Ya Allah… jika dia sengaja mengganggu rumah tangga kami, Kau balaslah dia dengan balasan yang adil menurut-Mu. Dan janganlah Kau jadikan aku orang yang zalim dalam amarahku.”






Masa berlalu. Di satu sudut dunia yang tidak pernah dia jejaki, kehidupan Sonia mula retak perlahan-lahan. Sonia akhirnya bertemu dirinya sendiri. Dipaksa menghadapi luka yang sama, luka yang pernah dia tinggalkan di dada orang lain tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Dan di satu sudut hidup yang tidak dijangka, dia dipertemukan dengan versi dirinya sendiri, versi yang selama ini dia nafikan, versi yang akhirnya menelanjangkan segala keangkuhan yang pernah dia banggakan.  Begitulah, terkadang Allah tidak menghantar badai, Dia hanya menghantar cermin, dan cermin itulah yang paling menakutkan.

Turinem tidak tahu dan tak ingin mencari tahu lagi. Dia hanya ingin menyerahkan segalanya kepada Illahi; agar rumah tangganya terpelihara dan hatinya bebas dari duka yang berpanjangan.

Doanya tidak lagi berbau luka dan dendam.
Dia kini hanya mahu sembuh.

Hari berganti minggu. Luka yang dulunya menjerut perlahan-lahan pulih seperti rumput yang tumbuh selepas hujan, senyap, tapi pasti.  Turinem sudah jarang menyebut nama Sonia. Rumah tangganya kembali jernih. Wajahnya makin berseri. Suaminya pun dah berpindah daerah, jauh dari bayang lalu.

Namun pada suatu petang, entah kenapa, hatinya digerakkan untuk membuka media sosial.





Matanya tertancap pada satu gambar berwarna yang kini dihitam-putihkan. Rambutnya yg menggerbang perang kelihatan dipudarkan membentuk seperti hijab. Nama yang ditanda pada foto membuatkan dada Turinem bergetar.

Wajah itu… seakan pernah dikenal.

“Sonia?”

Dia baru teringat, dia pernah menambah seorang teman Sonia bertahun lalu.  Mungkin juga Sonia dah unlock profilenya untuk mempromosi perniagaan homestaynya, makanya kini mutual friend Turinem dapat menanda namanya.  Dan apa yang terpampang di hadapannya kini terasa seperti mimpi yang tak logik disentuh realiti.

Turinem menggali lagi profile Sonia untuk memastikan kesahihannnya, gambar-gambar gedik dengan gaya menggoda tak cukup kain, separuh dada terselak juga masih ada di situ.   Komen-komen lelaki gatal separuh abad juga masih abadi di situ.  Hanya ada 2,3 komen yang meminta ia dipadam.

Miss Mirror yang kebetulan ada di situ terperanjat melihat wajah Turinem yang kaget.

“Tory? Kenapa?”

Turinem menunjukkan skrin.
Miss Mirror membaca perlahan. Nafasnya terhela panjang.

Innalillahiwainnailayhirojiuun.

“Tory… ini bukan balasan yang kau minta. Ini urusan Allah sepenuhnya. Mati… itu rahsia yang tak ada siapa boleh duga,” ujar Miss Mirror perlahan, seakan memegang hatinya yang tiba-tiba kosong.

Turinem duduk semula. Dadanya terasa hening, bukan puas, bukan gembira. Hanya… hening yang dalam.

Diam-diam, dia teringat kalimat doanya dahulu:

“…dan janganlah Kau jadikan aku orang yang zalim dalam amarahku.”

Tanpa sepatah kata, Turinem menutup mata. Bibirnya bergerak perlahan.

“Al-Fatihah…”

Dia hadiahkan surah itu setulus yang mampu.
Bukan kerana lukanya telah hilang sepenuhnya, tetapi kerana akhirnya dia mengerti…

“Kifarah bukan untuk ditunggu.
Ia hadir ketika hati sudah tak memerlukannya lagi.”

Sekian.  TAMAT.





CERPEN - Kifarah Part 1

Senja turun perlahan, membalut dunia dengan cahaya keemasan yang lembut. Turinem, bukan nama sebenar duduk di sebuah Coffee House, menatap keluar melalui tingkap besar. Jari-jarinya mengetuk perlahan permukaan meja kayu, seiring degup resah yang tak mahu reda.

Hatinya bergelora. Wanita yang menggugat rumah tangganya, si Sonia (bukan nama sebenar), kini mengunci profil media sosial pula.

“Arghhhh! Macam mana aku nak pantau perangai wanita tak bermaruah tu?” getus hatinya, geram.

“Jangan la begitu, Tory. Setiap perbuatan buruk ada kifarahnya,” pujuk Miss Mirror, cuba memecahkan benteng resah di hati Turinem.

“Tapi sampai sekarang aku tak nampak apa-apa pun jadi pada dia...” jawab Turinem, suaranya bergetar, mata masih memaku senja yang memerah lembut di ufuk.

“Astaghfirullah...” Miss Mirror menarik nafas dan menyambung kata..

“Wait. Sebenarnya doa kau dah pun termakbul, cuma kau tak nampak. Kau kata dia lock profile, kan? Ha! Itulah permulaan doa kau dikabulkan.”

Turinem berkerut. Dia tidak mengerti. Pandangannya jatuh pada permukaan meja, melihat pantulan senja yang pecah berderai di atas pasu bunga. Nafasnya tidak stabil.

Miss Mirror menyilangkan tangan, wajahnya lembut namun sarat makna.

“Tory… kau fikir Allah tak buat apa-apa?.  Sebenarnya Dia tengah jauhkan kau daripada benda yang menyakitkan hati kau.”


Turinem hanya diam.




Miss Mirror bersandar sambil memusing straw minumannya… menyambung kata.

“Kau ingat tak, setiap kali kau stalk dia, hati kau jadi panas? Hati kau hancur. Kau terbakar dengan luka lama. Elok2 kau dah happy kau jadi bergaduh suami isteri. Bila dia lock profil… itu bukan kekalahan kau. Itu perlindungan Allah.”

“Allah tutup pintu yang mengganggu jiwa kau. Dia tak nak kau terus terdedah pada benda yang menggelapkan hati. Dia tenangkan dulu orang yang teraniaya sebelum Dia menguruskan orang yang menzalimi.”

Miss Mirror menunduk sedikit, menatap Turinem seperti seorang guru yang sabar mengajar murid yang hampir faham.

“Tory… doa orang yang teraniaya itu gelombang halus yang naik ke langit. Bila kau berdoa, pintu langit terbuka. Tapi Allah tak terus menurunkan balasan pada Sonia sebab hati kau belum sembuh lagi. Allah lebih sayang pada yang disakiti. Dia rawat dulu luka di hati kau, supaya kau tenang.. sebelum pihak yg menzalimi diuruskan.”

Turinem terdiam. Angin penghawa dingin menyentuh kulitnya, seakan satu belaian lembut yang menenangkan.

Miss Mirror menyambung, perlahan tetapi menusuk jiwa:
“Bila hati kau dah reda… bila kau tak sibuk nak pantau hidup dia lagi… barulah kifarah turun. Insha Allah. Balasan Allah bukan ikut rentak kita. Dia ikut hikmah. Ikut masa. Ikut keadaan hati.”

Turinem menelan air liur. Ada sesuatu dalam dirinya bergerak seperti ais yang lama membeku, kini mula mencair.




Beberapa minggu kemudian, Miss Mirror menemui Turinem di tempat yang sama. Kali ini wajah Turinem jauh lebih tenang.

“Kau perasan tak?” Miss Mirror memulakan bicara sambil menjentik straw. “Sejak dia lock profile, aku tengok kau tak lagi tertekan. Kau tidur lebih lena. Itu semua tanda Allah menyelamatkan kau daripada gejolak diri kau sendiri.”

Turinem menarik nafas panjang. Ada kelegaan yang perlahan-lahan masuk ke dadanya, seperti cahaya senja yang meresap dari tingkap.

“Ya… aku akui. Tapi… jahat tak aku, Miss Mirror? Kadang-kadang aku nak jugak tengok dengan mata kepala sendiri kifarah berlaku ke atas dia. Hahaha.” Suaranya lirih, malu-malu. 

Miss Mirror mengangkat kening.
“Tak perlu risau. Orang yang menganiaya orang lain, Allah yang uruskan. Memanglah kau tak nampak. Tapi percayalah hidup dia sendiri akan jadi sempit. Rezeki tersekat. Orang sekeliling menjauh. Rumah tangga sendiri retak.  Banyak berlaku di belakang tabir, tak semua kau perlu lihat.”

Turinem menggigit bibir.
“Tapi… macam mana aku nak tahu semua tu… kalau aku dah tak boleh stalk lagi? Hahaha.” Gelaknya kali ini lebih panjang, lebih ringan.

Miss Mirror tersenyum kecil, menyimpan sinar hikmah di hujung bibir.
“Tory… bukan semua kifarah perlu kau tengok. Ada yang Dia sembunyikan sebagai rahsia antara Dia dan pelaku. Kau tak perlu tahu. Kau hanya perlu tenang. Itu tujuan Dia.”

Senja di luar semakin tenggelam. Jingga bertukar unggu gelap. Dunia tampak lebih senyap… namun hati Turinem terasa lebih lapang daripada sejam sebelumnya.

Miss Mirror meneguk minuman terakhirnya.
“Tory… kau tak kalah. Kau sedang disembuhkan.”

Turinem memejamkan mata, menghirup udara dalam-dalam.

 Bersambung… part 2.


Nota :

Kepuasan menulis adalah apabila kita menghasilkan cerpen walau pun untuk bacaan sendiri.  ๐Ÿ˜„๐Ÿ˜„.  


Thursday, November 27, 2025

Kisah Seram - Akibat berangan nak jadi hero.



“Aduhhh! Panassss!”

Jeritan kecil Markonah (bukan nama sebenar) memecah sunyi bilik sempit itu. Saya dan Cik Onin (juga bukan nama sebenar) saling berpandangan, takut, terperanjat, tidak tahu mahu berbuat apa. Markonah melompat seperti baru disentuh besi merah membara. Kulit lengannya memerah, hampir seperti terbentuk lepuh mikro. Saya kaku. Padahal setitik sahaja yang saya calitkan. Dan dia yang meminta. Saya hanya memenuhi permintaan setelah dia tercium aroma yang saya gunakan.

Minyak itu, dari sisi kimia, tidak panas. Ia juga bukan dari mana-mana tumbuhan. Ia datang dari satu makhluk yang kini hanya tinggal dalam hikayat dan cerita lama pemburu.
Tiada bahan iritasi kuat. Tiada kuasa ghaib. Ia cuma substance, bukan agent.

Saya membelinya pun kerana kawan saya dahulu pernah berbisik, 

“Jin tak suka bau dia ni.” 

Itu zaman awal 90-an. Belum wujud istilah viral, belum ada TikTok yang mempopularkan konten paranormal. Entah bagaimana, kawan saya bercakap seolah-olah dia mengetahui sesuatu yang belum sampai ke telinga masyarakat zamannya. Seperti Doraemon yang tersesat dari masa depan.


Sekadar gambar hiasan dari AI.  Tiada kaitan dgn entri.


Saya tidak pernah ambil pusing. Pada saya, ia hanya sejenis wangian, sekadar untuk mengelakkan mengantuk semasa menghadiri majlis ilmu atau seumpamanya. Sehinggalah Markonah berkata, “Nak cuba sikit…” dan kisah melompat.. itulah pintu pertama yang membuka episod panjang ini.

Saya memilih penjelasan paling rasional: 
Mungkin alergi. Reaksi histamin. Hipersensitiviti.

Tetapi rasional kadang-kadang cuma pagar dawai di tepi hutan pekat yang penuh rahsia.

Beberapa minggu berlalu, kisah itu hilang begitu sahaja. Sehinggalah satu malam telefon rumah saya berbunyi. Suara Markonah berbisik perlahan, seperti bimbang suaminya terdengar.

“Miss Mirror… minyak yang you beli hari tu… warna dia apa?. Sampai rumah… botol dia pecah.”

Rupanya diam-diam Markonah membelinya juga. 

“Peliklah.  Kat kedai I pilih lain, tapi sampai rumah jadi brand lain.”   Ujarnya lagi.

Secara kognitif, manusia mudah tersilap memori. Psikologi menamakan fenomena itu memory distortion. Saya cuba kekal berpijak di tanah logik: mungkin suhu panas-sejuk dalam kereta menjejaskan botol; mungkin hentakan semasa perjalanan; mungkin dia tersalah lihat jenama; mungkin peniaga cuai.

Dan seperti episod pertama, cerita itu mati perlahan.

Kemudian Markonah muncul kembali.  Saya berseloroh tentang pengalaman lucu-seram kami berkaitan minyak itu. Tanpa diduga, dia berkata:

“Miss Mirror… nanti kalau you beli minyak tu… belikan I satu.”

Saya tidak bertanya lanjut.  Tapi dia ada bercerita yang fikirannya sejak akhir-akhir ini sering terganggu.  Kepalanya serabut.  Pelbagai peristiwa aneh sedang ia lalui.  Tapi tak boleh saya jelaskan semuanya itu di sini.  Mungkin dia nak minyak itu sebagai aroma terapi…sambil memanjat doa di sepertiga malam memohon pertolongan dari-Nya.

Tentu sahaja saya simpati mendengarnya dan sukarela mahu membantu.

Saya ke kedai berhampiran. Penjualnya, jejaka Arab yang kurang fasih Berbahasa Melayu itu ketawa kecil..

Dia kata dia tak tahu langsung tentang fadhilat minyak itu dan apa yang dijualnya pun versi tidak ori. Saya tidak kisah; ori tak ori niat saya hanya mahu memenuhi permintaan Markonah tadi.

Tetapi malam itu… …
Semuanya berubah.   Ketenanganku tetiba diragut!.







Dalam neurologi, ada fenomena bernama sleep paralysis, namun apa yang berlaku pada saya tidak menepati semua kriterianya. Saya tidur, tetapi tubuh saya beku. Setiap kali cuba menjerit, suara saya tenggelam seolah-olah ditarik ke dasar laut.

Saya sedar, tetapi tidak mampu bergerak. Dan paling jelas. Ada tangan dingin tiba-tiba menekup mulut saya.
Tekanannya nyata. Sejuknya bukan ilusi. Nafas saya terhenti seketika.  Wajah itu dapat saya ingat hingga ke saat terjaga.  Malah hingga kini.  Wajah marah yang meluap-luap.

Esoknya berlaku hal yang lain.  Semuanya jadi kacau bilau.  Lusa pula kisah seram yang lain. Akal saya mencari penjelasan saintifik: 

Mungkin stress?.
Gangguan tidur?. 
Halusinasi hipnagogik?. 
 
Tetapi jiwa saya… tahu ia bukan itu. Ia datang sebagai reaksi. Sebagai petanda. Satu pagi, saya bangun dengan keputusan yang sangat jelas.

Saya berjumpa Markonah dan mengambil semula botol minyak yang belum dibukanya itu.  Bukan kerana saya mungkir janji atau buruk siku tetapi kerana dari semua mimpi2 dan peristiwa demi peristiwa yg saya alami itu akhirnya saya memahami sesuatu:


“Tidak semua ikhtiar orang lain perlu kita sertai. Tidak semua urusan orang lain perlu kita campuri.”


Minyak itu tidak bersalah. Ia makhluk neutral.  Tidak punya kuasa apa-apa pun.  Ia hanya mahluk yang lemah spt kita.   Lagi pun kan Seller sendiri dah jelaskan tadi.  Ia bukan ori.  Diulangi… bukan ori.  Maksudnya bukan datang dari minyak itu pun.  Bukan!!. 

Tetapi niat saya untuk membantu…
Ya. Itulah yang membuka ruang.
Dalam antropologi Melayu, kita memanggilnya:
niat yang memanggil sesuatu.
Dan sesuatu itu… tidak selalu memilih pemilik asal.

Selepas saya melepaskan niat itu, beban di dada hilang. Rumah kembali tenang. Tidur saya kembali pulih  seolah-olah sebuah genggaman sejuk melepaskan bahu saya.

Dalam hidup ini, ada perkara yang wujud diam-diam. Jika ia tidak mengganggu kita, kita tidak patut pun menyentuhnya.

Ada permintaan yang kelihatan kecil… tetapi apabila kita penuhi, kesannya jatuh pada kita. Bukan kerana dunia ini kejam, tetapi kerana ada perkara yang tidak memerlukan bantuan kita.

Ada pintu dalam hidup orang lain yang tidak sepatutnya kita buka walaupun kuncinya ada di tangan. Kadang-kadang beban di sebalik pintu itu tidak layak dipikul orang luar. Lebih baik kita duduk sebagai pendengar tanpa berusaha menjadi penyelamat.  Sekian.



Wednesday, November 5, 2025

Senja, Jurnal dan Impian Kecil di IOI City Mall

Senja mula turun perlahan-lahan, langit berwarna jingga lembut saat mesej masuk daripada sahabat lama, Hjh S.  


“Kat mana sekarang?”

“Ai kat bumi..”

Jawabku ringkas sambil tersenyum kecil. Dalam hati terlintas, mesti wanita anggun berniqab ini ada membaca blog ai, sebab macam tahu pula ai sedang berada di Malaysia. Tak lama kemudian mesej kedua menyusul:


“Jom Sam kita me time kat IOI.  Nak cari buku jurnal baru.”






Terus ai terbayang suasana damai ngopi2 dengan teman lama, jalan2 di kedai buku, ada deretan jurnal cantik berkulit lembut, bau kertas yang baru dibuka, dan rasa tenang bila membelek helaian kosong yang menunggu untuk diisi.  (Eh!.  IOI ada kedai buku ke?.  Tak perasan plak?).






Sebenarnya ai memang teruja nak ikut ajakan Hjh S malam tadi tapi belum dapat diputuskan. Bukan sebab tak mahu, cuma rasa tak sampai hati nak keluar bila suami ada di rumah. Biarpun cuma sekejap. Bagi ai, masa bersama beliau pun satu bentuk “me time” juga, cuma versinya berbeza. Kecuali kalau beliau sendiri memang dah ada urusan atau appointment, barulah ai rasa “berbaloi” nak keluar sendiri.

“Tengok nanti macam mana.   Kalau my hubby ada appointment malam ni baru ai join.   Lepas maghrib ai update.”





Tunggu punya tunggu dan dress maroon hitam yang baru ai beli pun dah siap ai gosok, rupa-rupanya hubby tak ke mana-mana. Hihi.   On line meeting pun dari rumah.    Memang tak jadi la ai nak ngeteh dgn Hajah S.


Oh ya, gambar-gambar kasut but di atas disnap di IOI Mall City minggu lepas.   Ingatkan dapat la membelek lagi di sana dengan Hajah S pula, tapi belum berkesempatan lagi.   InshaAllah next time ye.

Tentang niat Hjh S untuk berjurnal.  Menulis jurnal ni memang ada magisnya. Ia bukan sekadar mencatat kisah hidup, tapi juga satu bentuk terapi jiwa dan self care. Kadang, menulis tu bukan untuk orang lain baca pun, cuma untuk diri sendiri faham apa yang sedang dirasa. Bila pena menyentuh kertas, hati terasa ringan.  Samalah macam kita blogging ni.


Tuesday, June 17, 2025

Misteri meja hujung.

 Assalamualaikum guys!!. 

Asik buat entri masak je boring pulak kan?.   Kita buat “cerpen” lah pulak.  Kemarin ai makan di sebuah tempat yang agak ramai orang. Biasalah, bila orang ramai, tempat duduk pun jadi rebutan. Hubby offer diri untuk order makanan kegemarannya, sementara ai yang dah ada bungkusan di tangan  pula ditugaskan mencari tempat duduk. 

Dipendekkan cerita, setelah berpusing-pusing macam usb fan, ai jumpa satu meja kosong dekat hujung sekali. 

Duduklah ai sambil ralit makan pisang goreng yang sedap giler, rangup macam zaman makcik kantin. Sungguh nikmat sampai tak perasan tiba-tiba ada dua manusia muncul, seorang lelaki berbadan gempal dan anak kecilnya. Mereka ingin duduk di hujung meja yang sama.  Tak de hal, meja panjang boleh kongsi.  Yang penting “kerusi hubby” yang ai dah sorokkan ke dalam jangan diambil ye.

Tak lama lepas tu, hubby sampai dan kami pun mula makan bersama-sama. 


 Sekadar gambar hiasan, tiada kena mengena pun dgn entri.  Lain yg ai suruh lukis, lain yg dia buat.  My hubby tak semuda ini ye.



Selang beberapa minit, datang seorang wanita. Dari gaya dan raut wajah, ai agak itu isteri si lelaki berbadan gempal tadi. 


“Abang… kenapa makan kat sini?”  Rungutnya marah-marah.

Telinga ai terasa berdesing. Yang kena marah suami dia, tapi kenapa ai pula yang panas?.  Hahaha.  Mungkin sebab terganggu mendengar suara bingit tepi telinga ketika tgh best2 nak makan.


Tapi yang paling peliknya ialah... si isteri tadi tu tak nak duduk di sebelah suami dia, tau. Sebaliknya terus duduk betul-betul depan ai dan hubby. Depan, ye. Bukan serong, bukan tepi. Depan.  


Takkan sampai tahap tu sekali dia nak “jaga” suami dia? ๐Ÿ˜† Dengan duduk betul-betul depan kami, maksudnya dia nak sekat pandangan mata suaminya ke arah kami ke macam mana?.   Kan ai ada hubby teww!.   Tak kan ler nak ngorat suami dia plak kot?.   Begitulah ai overthinking dan menterjemahkan body language. 

Sekian merapu hilangkan stress.  



 

Tuesday, February 18, 2025

Redho Dalam Kabus Takdir

"Macam mana hari ini?. Ada perubahan tak?" tanyaku pada Oddah  (bukan nama sebenar) melalui WhatsApp.

Dah lebih seminggu, soalan itulah yang aku ulang, macam doktor pelawat pula lagaknya. ๐Ÿ˜‚

“Ok sikit la. I tengah menikmati ‘Jalal’ Allah ni. Ujian Allah kena rasa nikmat, biar apa pun berlaku. Barulah namanya redha dengan ketentuan-Nya…”

Aku terdiam. Rasa risau yang tadi menyesakkan dada tiba-tiba hilang. Perkataan “menikmati” itu terus menukar persepsiku. Terbayang Oddah duduk tenang walaupun sakitnya belum hilang sepenuhnya, seakan-akan menikmati secawan kopi panas di bawah pohon pisang ketika hujan: badan menggigil, tapi nikmatnya tetap terasa.




Gambar lama je ni, (sekadar hiasan).  Rasa damai je dibawa ke kebun pisang ketika meneman org berurut.  


Apa itu Jalal Allah?

“Jalal Allah” ialah kebesaran dan keagungan Allah yang kadang-kadang tersingkap melalui perkara yang kita anggap “buruk” : musibah, kesakitan, kehilangan atau kesedihan.

Tetapi di sebalik setiap ujian hidup, sentiasa ada rahmat, yang hanya dapat dilihat oleh hati yang yakin dengan ketetapan Ilahi.

Oddah menambah lagi:
“Kalau Jamal Allah, itu pula perkara baik yang Allah beri… dan kadang-kadang kita sendiri tak tahu apa hikmahnya.”









Contohnya Cik Q ni lah, pesal rajin pulak buat bunga di balik rutin hidupnya yg sibuk?.  Ada lah tu hikmahnya.   Mungkin suatu hari nanti nak bukak kedai bunga kot?.  Aamiin.  





Kesimpulannya, orang alim dan beriman menghadapi ujian bukan dengan mengeluh, tetapi dengan mencari makna. Mereka melihat musibah bukan sebagai hukuman, tetapi sebagai tanda kasih sayang Allah, peluang untuk mendekatkan diri, memperbaiki amalan, dan meraih kedudukan yang lebih tinggi di sisi-Nya. 

Belajar Dari Oddah Tentang Hikmah Ujian Hidup

Mungkin kita semua boleh belajar sesuatu daripada Oddah ini, wahai puan-puan.
Tidak semua orang mampu “menikmati” ujian, tetapi bagi mereka yang benar-benar memahami hikmah di sebalik ketentuan Allah, di situlah terletaknya ketenangan jiwa yang sebenar.

Insha-Allah, semoga kita semua terus diberi kesihatan, kekuatan, dan hati yang sentiasa redha menerima ujian hidup sebagai aturan terbaik dari-Nya.
Aamiin ya Rabbal ‘alamin.

Tuesday, September 13, 2022

Misteri gadis bermake up tebal terungkai

"Don't judge a book by it's cover!".


Kisah berlaku di zaman purbakala, di suatu petang di kawasan parkir, nama benua dirahsiakan (jika ada persamaan, itu hanyalah kebetulan ๐Ÿ˜).  Lunch break bersama beberapa orang teman.  Salah seorangnya agak out spoken, yg mana kita kena banyak pekakkan telinga sikit bila berbual atau dicadangkan  pakai la earphone, pasang zikir  supaya kuman2 lazernya tak terjangkit pada kita pula.  Kekeke.


"Tengok awek tu, mesti tengah sibuk nak cari jodoh.  Try hard sangat dengan make up tebal2, konon supaya dingurat."  Ujar XYZ (bukan nama sebenar) membawangkan dua orang gadis yg berdiri beberapa meter depan kami.  





Kedua gadis berambut hitam melepasi bahu, berwajah cerah. Tidak pasti dari negara mana kerana bukan itu yang ingin dibincangkan dlm entri kali ini.

Kami yang sedang ralit menekan mesin parking auto pay, dengar pun acuh tak acuh. (Macam2 nombor yang diminta oleh mesin, nak kata plate number tapi bila key in tak match pulak.  Ahh sudah.).  Tapi sempat la ai mencuri pandang awek yg dimaksudkan XYZ tu,  cun.. cuma make up je agak terlebih sikit.  Tapi why should I care, bukannya dia ada kacau kami pun?.  Make up pun dia sendiri yg punya.   Oh lupa.. tadi mereka dapat parking lebih awal dari kami yang sepatutnya 'kami punya'.. tu yg XYZ jadi agak 'kepanasan' sikit sebab dia yg drive.  


"Tengok tu, mundar mandir dari satu kereta ke satu kereta, nak caras laki orang la tu.".  Sambungnya lagi... terus gelak2 mengekek.



Dalam pada mulanya ai tak peduli sangat.. now ai mula fokus pada apa yg dibebelkan oleh XYZ lantas sama2 ketawa  (astagfirllah) seolah2 macam merestui hujah2 dan firasatnya pulak. Patutnya ai ubah topik supaya hal itu ternoktah. Mungkin ablasa telah berjaya merasuk ai  kot.๐Ÿ˜ˆ๐Ÿ˜ˆ.


(Psstt... tapi gaya gadis2 tu pun agak suspicious ketika itu. . ๐Ÿคญ).


Tetiba awek tu menghampiri kami pula.   Agak2 kenapa?.   Ce teka.


Jeng jeng jeng...




Gambar ni takde kena mengena dgn entri, sekadar hiasan.   Gambar mesin parking sila google sendiri.


Berbalik pada kisah tadi tu..


"Oh that (the machine) is not for car but motorcycle's. We also experience the same just now."  Ujarnya menghampiri XYZ sambil tersenyum manis   dengan wajah yang ala2  naif, ibarat gadis pingitan yg baru turun dari gunung singgah ke kota  dan bicaranya amatlah sopan sekali.  Dgn begitu baiknya mereka menunjukkan kami mesin parking kereta yg sebenar.

Dapat dibayang tak muka kami masa tu?, Particularly si XYZ lah sebab dia yg the first menjerumuskan kami ke lembah sunuzon terhadap gadis2 itu. 

Lebih menginsafkan kami lagi, tetiba di tangannya terhulur sekeping tekit parking yg 'belum terhabis' untuk kami gunakan berbaki 3 jam.     Itu la punca mereka mundar mandir tadi tu.

Sekian.  Semoga mendapat pengajaran berharga dari entri ini.  


p/s :

Jika anda menilai seseorang hanya dari luarannya, anda akan kehilangan banyak kesempatan bertemu dgn orang-orang yang hebat.


Sunday, December 19, 2021

Banjir Dulu VS Sekarang

"Ma, can I post this on my IG?".   Soal my son sebaik mama selesai masak menu favouritenya.

"Not for today Syg.   Org kat Msia sedang ditimpa musibah banjir.".   Jawabku sambil memadamkan api.   

Bertabah la menghadapi ujian-Nya ini wahai Malaysian.    Kami pernah melalui apa yang anda lalui ketika kecil2 dahulu cuma yang membezakan anda dan kami.. ketika itu ianya  berlaku berserta persiapan2 rapi turun temurun (perahu bawah rumah) dan tiang pula sengaja direka tinggi2.    Kebanyakan kami pandai berenang sekecil usia 3 - 6 tahun lagi.

Untuk membuat perahu, terpaksa menebang pokok besar.  Ada juga yang dibeli siap.

Meski pun banjir telah membantutkan pelbagai aktiviti mencari rezeki, tapi arwah ibu dan ayah tetap tabah, malah semakin kreatif pula menginovasikan pelbagai menu2 baru dari persekitaran.



Purnama Aussie pagi tadi..


Perjalanan ke sekolah juga terbantut tika itu akibat air dah paras dada di area jambatan yg menghubungkan pekan.  Untuk nota : Baru sweet 14 (tingkatan 2).

Maka terpaksa lah kami "berkampung" di sekolah.  Manis sebenarnya kenangan itu walau terpaksa berpisah sementara dgn parents dan other siblings di rumah sebab dapat berkumpul dgn kawan2, mandi sama2, makan nasi kawah Cikgu masak dan pelbagai lagi aktiviti dijalani bersama.   

Tidak mampu  untuk meneruskan penulisan ini kerana hati sedikit terusik.    Terbayang orang2 tersayang yg melawat, antaranya kakak dan arwah ayah membawakan keperluan2 sekolah yg tertinggal.    Tenang saja wajah mereka tidak menunjukkan riak2 kesal malah senyuman sentiasa terukir.

Oh now I know kenapa sekarang kau dapat peluang bermain2 salji nun di sana Kakakku.  You deserve it!.    Enjoy your honeymoon!


P/s :  Moga Allah permudahkan segala urusan anda dan segera diangkat musibah ini.   Aamiin. Jgn lupa snap gambar rumah utk claim insuran bagi yg masih under loan.   



Friday, June 4, 2021

Cerpen : Buah Berangan Rebus

Assalamualaikum uollz..

Hujan turun dgn lebatnya, kilat sabung menyabung.   Cuaca dingin mencengkam.  Senja kian merangkak pergi.. badan semakin longlai.  Rumah masih nun jauh di hujung.  Tetiba ada seorang nenek tua melambaikan tangan..

"Ayuh Nak.. singgah ke rumah..".

Anda mengenalinya.. apa lagi, singgah la.. orang dah pelawa.     Dihidang pula kopi panas2!.  Asap berkepul menaikkan aroma. Cemni tua 4 persegi memanaskan seluruh ruang tamu.  Kayu kayan ditambah sbg menyambut kedatangan anda.  Badan yang tadi kedinginan basah kuyup mula beransur panas dan lega.  Itu lah erti "heaven" dunia yang sebenar!. Kopi, hujan dan adanya bumbung untuk berteduh.

Terlalu asik menikmati sedapnya kopi, tidak terasa hujan pun mulai reda.   Petir kilat mula berhenti.

Tapi cerita ini hanyalah rekaan.. Walaupun pernah melaluinya.. tapi dlm situasi berbeza.. (entah nenek siapa yg ai pinjam dlm cerita ini.๐Ÿคญ). Sengaja direka  supaya teman2 yg sedang galau lockdown kekal tabah walaupun terpaksa tinggal di rumah.   

"Anggaplah di luar sedang hujan lebat dan covid itu petir.".  Miss Mirror ๐Ÿฆ˜



Kopi fevret tak sempat beli arini, so habiskan dulu stok lama2 yg ada.  Sedap pula rupa2nya.. 
Tu la, meski pun menci.. jgn terus dibuang.  Tiba waktunya ia akan berubah. (Mungkin kopi ai ni "insaf" kot setelah sering dianaktirikan.. tros bertukar sedap).



Buah berangan rebus juga merupakan prop2 yg sesuai untuk menambah "keheavenan" episod "hujan, kopi, bumbung berteduh" yg direka2 di atas.   Ubi kayu rebus, kurma goreng dan lempeng juga satu cadangan yg bernas.  Tapi yg ai makan ni adalah kisah benar ye..yg ni bukan rekaan. 

Bukan tak de jual buah berangan readymade dlm paket.. tapi setelah dibelek2 packaging tidak bertanda halal.

Maka.. rela la ai merebus, sedap juga.   Masuk air fryer tak menjadi, pecah berderai.  Hendak sangan dlm pasir.. tak rajin la pula.


Berbalik pada "cerpen rekaan" tadi tu..  Di ruang dapur rumah nenek kebayan,  ada beberapa orang sekira2 usia hampir satu abad sedang menghirup kopi yg sama. Raut wajah mereka yg ceria dan tenang seolah2 menggambarkan rasa terima kasih kepada hujan. Mungkin asbab hujan, Allah beri mereka laluan untuk bisa menghabiskan sisa2 waktu bersama dengan orang yang mereka kasihi.. 



Sekian dan selamat berhujung minggu.




Saturday, February 24, 2018

Novel Part 2 - Misteri Duda Beruban

Anak2 selalu cakap.. kisah hidup Mama dah macam novel, tu yg Mama gigih buat "novel" kat belog ni.    Kalau dibuat novel sebenar, belum tentu laku, jadi Mama tulis je kat sini untuk pedoman anak cucu.  Novel syok sendiri. Hihi..

Nak kata ini sambungan "novel" semalam, taklah juga.. tapi kisah tetap berkisar tentang pancaroba menyewa bilik di zaman2 remaja. Kalau semalam Bandar X... ni Bandar Y pulak. ๐Ÿ˜ƒ.



DAPAT KERJA BARU DI BANDAR Y...

Matahari terik membakar kepala, dengan kasut tumit tinggi keletak keletuk.. aku menghampiri kedai di pinggir jalan itu, seorang diri.  Baru balik dari temuduga dan lulus diterima bekerja di sebuah pejabat tak jauh dari situ.   Sebenarnya tempat itu agak asing bagiku, tapi aku memberani2kan diri.  Nak mintak tolong siapa lagi kalau tak berusaha sendiri. Aku memang seorang yang mandiri. Cehh...

"Encik tahu tak kat mana ada rumah sewa?".    Tanyaku pada seorang lelaki beruban penuh, ku kira beliau pekerja di kedai kecil  itu.

"Emm macam tak ada.. tapi tak apa, nanti saya tanya dengan mak saya, kami ada bilik kosong.".   Jawabnya tanpa senyuman. Serious sahaja.  Wajahnya cengkung tanda orang susah.

Ku lihat ada kejujuran di wajahnya, jadi aku pun mengekorilah pakcik tu balik tanpa was2.  Berjalan kaki.  Tak boleh nak memilih sgt sebab aku perlu melapor kerja 2 hari lg.  Dapat tempat berteduh dari hujan panas pun dah ok.

Dipendekkan cerita emak pakcik (ku namakan dia Pakcik B lah ye)  bersetuju menyewakan bilik mereka. Disambut baik juga oleh anaknya yang lain serta seorang menantu (yg lebih kurang baya2 aku masa tu).

Hiduplah aku dengan tenang kat situ dengan membayar sewa bilik RM150 pada Makcik tu (kalau ikutkan.. mereka suruh aku duduk free pun, tapi tak patutlah kan?. Mereka pun org susah).  Office pun dekat, jadi happy lah duduk situ kan?.  Makcik tu pulak sayang sgt dgn aku.. hari2 masak sedap2 untuk aku balik makan tgh hari.

Cuma yg tak best.. Pakcik B (yg sudah ku ketahui adalah duda berusia lewat 40an) selalu tunggu aku makan.  Aku ni tak boleh bila makan ada orang teman... lagi2 lah lelaki.  Haha.. Ahh tapi aku anggap beliau mungkin anggap aku anak.

Tak ada apa yg pelik tentang beliau hinggalah aku dah keluar dari rumah itu.. dan terserempak dgn Puan J (bukan nama sebenar)  Puan J ni dulu selalu dtg ke rumah mereka.  Selalu masak2. Teman rapat mereka lah kot.

"Sammm...  kau dah kawin ye??"  Berjejak kasihlah kami setelah sekian lama tak jumpa.  Berpeluk2kan di pasaraya L****** Mall.

"Ha'ah.. dah anak sorang dah..".  Jawabku dengan gembira.

"Ehhhh... kau tahu tak Pakcik B dulu suka kat kau,  siap "mandremkan" (guna2) kau??.  Tak madan tuaaa!.   Kau yg muda jugak yg dia nak ".  Tegasnya.. hingga membuatku kaget.


"Ya ke?.   ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑTapi aku tak de rasa apa2 pun...  tak suka kat dia pun..".  Masa tu aku siap gelak2 bercampur kesal pun ada.

 Dlm hati aku... napalah jalan syirik tu yg beliau pilih??.  Pastu tak ampuh plak tu.  Haha. Kalau ampuh mesti aku dah tergila2kan dia,  terbayang siang malam.

Bagaimana pun aku dah maafkan beliau atas apa yg beliau dah perbuat tu.. memandangkan ibunya sangat baik.  Moga Allah ampuni dosa2nya.

Patutlah pun.. masa aku menjenguk mereka (masa tu aku blom kawin.. tapi dah keja tempat lain),  Pakcik B macam tak de mood nak melayan aku lagi, malah tak bercakap.  Frust ke apa.. tak taulah.  Haha.  Makcik pulak menangis2 peluk aku. Mungkin rindukan aku kot.

Masa aku nak kawin, nak hantar kad jemputan,  rumah mereka dah tak dapat dijejak lagi..  perumahan tu dah bertukar jadi hutan batu.

Kesimpulan.  Banyak yg aku perlu syukuri dlm hidup ini,  sebab Allah banyak tolong aku. Tanpa pertolongan Allah, mungkin nasibku dah jadi apa ketika itu..  Tak rela ku dimandrem2.  Hihi..    Aku pun tak pasti cara mandrem apa yg beliau guna dari bomoh temberang tu.  Guna makanan kot, makanya asik meneman aku makan?.  Kwang kwang kwang.. ๐Ÿ˜.


Older post :  Novel :  Misteri Seorang Penyewa Rumah -  Part 1

Friday, February 23, 2018

Novel - Misteri Seorang Penyewa Rumah - Part 1

Alhamdulillah, beef briyani pun siap!. Mr CEO junior pun dah pulang dari tuisyen, jadi malam ini Mama sedikit lapang. Maka terhasillah “novel mini” yang kusengajakan bertajuk:

HARI-HARI LALU SEORANG DIVA
(Kisah benar zaman muda yang penuh pengajaran)

Cerita ini bermula selepas perbualanku dengan abang di Malaya siang tadi. Topiknya: jodoh anak.

“Aku tak risau sangat pasal anak aku sebab pakwe dia jauh, so dorang tak ada ‘can’ nak dating,” kataku sambil bergurau.

Abang membalas:

“InshaAllah, Allah lindungi anakmu. Sedangkan engko dulu duduk dengan ******** pun boleh selamat.”

Jawapan itu buat aku terus flashback ke zaman awal 20-an satu pengalaman seram di rumah sewa misteri yang tidak pernah aku lupakan.

Pengalaman Tinggal di Rumah Sewa Misteri

Waktu itu aku tinggal di kawasan yang aku gelarkan “Kashmir”. Hidup di sana agak perit. Perkhidmatan bas hanya sampai jam 6 petang, dan sangat menyusahkan untuk buat overtime.

Jadi aku dan adik mengambil keputusan untuk menyewa bilik di sebuah rumah di pinggir Bandar X, atas bantuan seorang teman.

Pemilik rumah sedang berpantang dan tinggal dengan suaminya. Pada awalnya, semua kelihatan normal. Lelaki itu kelihatan seperti ayah mithali, rajin mengawasi anak lelakinya yang soleh, malah tegas mengajarnya mengaji. Isterinya pula sangat baik walaupun kurang bercakap, sedikit cacat di muka, namun rumah mereka sangat bersih dan kemas. Lantai dapur berkilat!

Namun segalanya berubah.

Permintaan Pelik Si Suami

“Abang nak pinjam duit dengan S (nama adik)… tapi S jangan bagitahu Kak Mirror,” kata adikku suatu hari.

Aku tergamam.

Rupa-rupanya, setiap hari ada sahaja cerita direka semata-mata untuk meminjam duit daripada adikku yang naif. Dengan aku, dia diam, mungkin takut. Menurut S, “tak madan sasa takut dengan Kak Mirror!” MasyaAllah… tak sia-sia darah pahlawan mengalir.

Tetapi itu baru permulaan.
Rumah Sewa Bertukar Menjadi Rumah Misteri

Satu pagi, aku bangun tidur dan terkejut besar.

Di dapur, ramai lelaki berbaju lusuh dan ‘bogan’ bergelimpangan. 

Aku berdiri terpaku.
“Misteri sungguh rumah ini…” bisikku sebelum aku berlari kembali ke bilik dengan jantung hampir tercabut.

Abang Datang Tiba-Tiba - Seperti Malaikat Penyelamat

Keesokannya di pejabat, tiba-tiba abang muncul. Tiada angin, tiada ribut.

Wajahnya serius.
Aku tidak ingat skrip penuh, tetapi nadanya seperti meminta aku keluar segera dari rumah itu. Ada kemarahan, ada ketakutan.

Katanya, ayah dapat maklumat sesuatu tentang lelaki misteri itu, tetapi aku tidak tahu dari mana.
Dan semakin aku fikir, semakin misteri hidup ini.
Perlindungan Allah Itu Nyata.

Tidak lama selepas itu, satu keajaiban berlaku.
Aku mendapat tawaran kerja baharu, rumah disediakan, gaji lebih baik. Alhamdulillah.

Pada malam buta, dengan bantuan bekas rakan sekolah, kami keluar dari “rumah puaka” itu.

Dan di situlah rahsia terbongkar…

“Awak sebenarnya duduk dengan mat gian selama ini. Rumah tu port dorang melepak,” katanya.

๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ
Tidak hairanlah hari-hari aku nampak lelaki kurus kering keluar masuk rumah itu.

Alhamdulillah, Allah melindungi kami dari sesuatu yang mungkin lebih buruk.

Pengajaran Dari Kisah Ini

Dalam hidup, kadang-kadang kita tak sedar bahaya yang dekat. Tetapi apabila Allah ingin melindungi, Dia datangkan bantuan melalui pelbagai cara - rasa hati, keluarga, pekerjaan baru, atau pintu keluar yang tiba-tiba muncul.