Thursday, December 4, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Merenung kembali jejak-jejak sirah para nabi, Aidil Adha lebih sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

Catatan sirah kedua-dua nabi ini, menjadi satu inspirasi kepada jutaan umat Islam ke arah rasa taqwa kepada Allah s.w.t. tanpa berbelah bagi. Malah ia juga menjadi gambaran simbolik kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang suami kepada isterinya, Siti Hajar serta kasih antara ibu dan anaknya. 






Terdapatt tiga peristiwa penting yang boleh dikutip daripada catatan sirah ini. Pertama, peristiwa Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus. Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah. Peristiwa kedua merupakan ujian Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti kepada anaknya. Peristiwa ini menunjukkan betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga: 

Nabi Ismail a.s. berkata:`

`Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.''(Ash-Shafaat:102) Dan ketiga, pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini. ``Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat. ``Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail:``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...''(Al-Baqarah:125) Al-Quran memberikan gambaran yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat 120-122 bermaksud:``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya.``Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan),(lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia. ``Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122). 


Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kaabah pada mulanya telah dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak. Nabi Ibrahim membinanya semula di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah. Maka Jibril memberikan Nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad. Semasa batu itu diletakkan, mereka berdoa,` `Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa):`


`Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.`Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami.`Sesungguhnya Engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha penyayang.'(Al-Baqarah:127-129 )

No comments:

Post a Comment

"Lisanmu adalah Syurga Nerakamu."
Komen anda adalah tanggungjawab anda sendiri. Admin blog tidak akan bertanggungjawab atas komen yg berbentuk umpatan atau kejian.