Thursday, November 27, 2025

Kisah Seram - Akibat berangan nak jadi hero.



“Aduhhh! Panassss!”

Jeritan kecil Markonah (bukan nama sebenar) memecah sunyi bilik sempit itu. Saya dan Cik Onin (juga bukan nama sebenar) saling berpandangan, takut, terperanjat, tidak tahu mahu berbuat apa. Markonah melompat seperti baru disentuh besi merah membara. Kulit lengannya memerah, hampir seperti terbentuk lepuh mikro. Saya kaku. Padahal setitik sahaja yang saya calitkan. Dan dia yang meminta. Saya hanya memenuhi permintaan setelah dia tercium aroma yang saya gunakan.

Minyak itu, dari sisi kimia, tidak panas. Ia juga bukan dari mana-mana tumbuhan. Ia datang dari satu makhluk yang kini hanya tinggal dalam hikayat dan cerita lama pemburu.
Tiada bahan iritasi kuat. Tiada kuasa ghaib. Ia cuma substance, bukan agent.

Saya membelinya pun kerana kawan saya dahulu pernah berbisik, 

“Jin tak suka bau dia ni.” 

Itu zaman awal 90-an. Belum wujud istilah viral, belum ada TikTok yang mempopularkan konten paranormal. Entah bagaimana, kawan saya bercakap seolah-olah dia mengetahui sesuatu yang belum sampai ke telinga masyarakat zamannya. Seperti Doraemon yang tersesat dari masa depan.


Sekadar gambar hiasan dari AI.  Tiada kaitan dgn entri.


Saya tidak pernah ambil pusing. Pada saya, ia hanya sejenis wangian, sekadar untuk mengelakkan mengantuk semasa menghadiri majlis ilmu atau seumpamanya. Sehinggalah Markonah berkata, “Nak cuba sikit…” dan kisah melompat.. itulah pintu pertama yang membuka episod panjang ini.

Saya memilih penjelasan paling rasional: 
Mungkin alergi. Reaksi histamin. Hipersensitiviti.

Tetapi rasional kadang-kadang cuma pagar dawai di tepi hutan pekat yang penuh rahsia.

Beberapa minggu berlalu, kisah itu hilang begitu sahaja. Sehinggalah satu malam telefon rumah saya berbunyi. Suara Markonah berbisik perlahan, seperti bimbang suaminya terdengar.

“Miss Mirror… minyak yang you beli hari tu… warna dia apa?. Sampai rumah… botol dia pecah.”

Rupanya diam-diam Markonah membelinya juga. 

“Peliklah.  Kat kedai I pilih lain, tapi sampai rumah jadi brand lain.”   Ujarnya lagi.

Secara kognitif, manusia mudah tersilap memori. Psikologi menamakan fenomena itu memory distortion. Saya cuba kekal berpijak di tanah logik: mungkin suhu panas-sejuk dalam kereta menjejaskan botol; mungkin hentakan semasa perjalanan; mungkin dia tersalah lihat jenama; mungkin peniaga cuai.

Dan seperti episod pertama, cerita itu mati perlahan.

Kemudian Markonah muncul kembali.  Saya berseloroh tentang pengalaman lucu-seram kami berkaitan minyak itu. Tanpa diduga, dia berkata:

“Miss Mirror… nanti kalau you beli minyak tu… belikan I satu.”

Saya tidak bertanya lanjut.  Tapi dia ada bercerita yang fikirannya sejak akhir-akhir ini sering terganggu.  Kepalanya serabut.  Pelbagai peristiwa aneh sedang ia lalui.  Tapi tak boleh saya jelaskan semuanya itu di sini.  Mungkin dia nak minyak itu sebagai aroma terapi…sambil memanjat doa di sepertiga malam memohon pertolongan dari-Nya.

Tentu sahaja saya simpati mendengarnya dan sukarela mahu membantu.

Saya ke kedai berhampiran. Penjualnya, jejaka Arab yang kurang fasih Berbahasa Melayu itu ketawa kecil..

Dia kata dia tak tahu langsung tentang fadhilat minyak itu dan apa yang dijualnya pun versi tidak ori. Saya tidak kisah; ori tak ori niat saya hanya mahu memenuhi permintaan Markonah tadi.

Tetapi malam itu… …
Semuanya berubah.   Ketenanganku tetiba diragut!.







Dalam neurologi, ada fenomena bernama sleep paralysis, namun apa yang berlaku pada saya tidak menepati semua kriterianya. Saya tidur, tetapi tubuh saya beku. Setiap kali cuba menjerit, suara saya tenggelam seolah-olah ditarik ke dasar laut.

Saya sedar, tetapi tidak mampu bergerak. Dan paling jelas. Ada tangan dingin tiba-tiba menekup mulut saya.
Tekanannya nyata. Sejuknya bukan ilusi. Nafas saya terhenti seketika.  Wajah itu dapat saya ingat hingga ke saat terjaga.  Malah hingga kini.  Wajah marah yang meluap-luap.

Esoknya berlaku hal yang lain.  Semuanya jadi kacau bilau.  Lusa pula kisah seram yang lain. Akal saya mencari penjelasan saintifik: 

Mungkin stress?.
Gangguan tidur?. 
Halusinasi hipnagogik?. 
 
Tetapi jiwa saya… tahu ia bukan itu. Ia datang sebagai reaksi. Sebagai petanda. Satu pagi, saya bangun dengan keputusan yang sangat jelas.

Saya berjumpa Markonah dan mengambil semula botol minyak yang belum dibukanya itu.  Bukan kerana saya mungkir janji atau buruk siku tetapi kerana dari semua mimpi2 dan peristiwa demi peristiwa yg saya alami itu akhirnya saya memahami sesuatu:


Tidak semua ikhtiar orang lain perlu kita sertai. Tidak semua urusan orang lain perlu kita campuri.


Minyak itu tidak bersalah. Ia makhluk neutral.  Tidak punya kuasa apa-apa pun.  Ia hanya mahluk yang lemah spt kita.   Lagi pun kan Seller sendiri dah jelaskan tadi.  Ia bukan ori.  Diulangi… bukan ori.  Maksudnya bukan datang dari minyak itu pun.  Bukan!!. 

Tetapi niat saya untuk membantu…
Ya. Itulah yang membuka ruang.
Dalam antropologi Melayu, kita memanggilnya:
niat yang memanggil sesuatu.
Dan sesuatu itu… tidak selalu memilih pemilik asal.

Selepas saya melepaskan niat itu, beban di dada hilang. Rumah kembali tenang. Tidur saya kembali pulih  seolah-olah sebuah genggaman sejuk melepaskan bahu saya.

Dalam hidup ini, ada perkara yang wujud diam-diam. Jika ia tidak mengganggu kita, kita tidak patut pun menyentuhnya.

Ada permintaan yang kelihatan kecil… tetapi apabila kita penuhi, kesannya jatuh pada kita. Bukan kerana dunia ini kejam, tetapi kerana ada perkara yang tidak memerlukan bantuan kita.

Ada pintu dalam hidup orang lain yang tidak sepatutnya kita buka walaupun kuncinya ada di tangan. Kadang-kadang beban di sebalik pintu itu tidak layak dipikul orang luar. Lebih baik kita duduk sebagai pendengar tanpa berusaha menjadi penyelamat.  Sekian.



3 comments:

  1. Minyak apa tu? minyak yg dh kena ruqyah ke? skrg ni markonah tu ok ke x kak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Mim - Alhamdulillah nampak macam dah okay, asalkan rajin mengaji.

      Delete
  2. Saya penasaran sebenarnya dengan minyak yg dimaksud. Tp dipikir2, better tak tahu juga hahahahah. Kadang betul kak, niat itu memanggil sesuatu. Padahal tak ada maksud kita utk merasakan yg sama.

    ReplyDelete

"Lisanmu adalah Syurga Nerakamu."
Komen anda adalah tanggungjawab anda sendiri. Admin blog tidak akan bertanggungjawab atas komen yg berbentuk umpatan atau kejian.