Sambungan dari Part 1.
Miss Mirror meneguk air longan kesukaannya, manis dan dingin.
“Tory… kau bukan kalah. Kau sedang disembuhkan.”
Turinem memejamkan mata, menarik nafas dalam-dalam. Untuk pertama kali sejak sekian lama… dadanya terasa ringan, seperti ada ruang baru untuk bahagia.
Di sepertiga malam, ketika dunia sunyi, Turinem menadah tangan.
“Ya Allah… jika dia sengaja mengganggu rumah tangga kami, Kau balaslah dia dengan balasan yang adil menurut-Mu. Dan janganlah Kau jadikan aku orang yang zalim dalam amarahku.”
Masa berlalu. Di satu sudut dunia yang tidak pernah dia jejaki, kehidupan Sonia mula retak perlahan-lahan. Sonia akhirnya bertemu dirinya sendiri. Dipaksa menghadapi luka yang sama, luka yang pernah dia tinggalkan di dada orang lain tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Dan di satu sudut hidup yang tidak dijangka, dia dipertemukan dengan versi dirinya sendiri, versi yang selama ini dia nafikan, versi yang akhirnya menelanjangkan segala keangkuhan yang pernah dia banggakan. Begitulah, terkadang Allah tidak menghantar badai, Dia hanya menghantar cermin, dan cermin itulah yang paling menakutkan.
Turinem tidak tahu dan tak ingin mencari tahu lagi. Dia hanya ingin menyerahkan segalanya kepada Illahi; agar rumah tangganya terpelihara dan hatinya bebas dari duka yang berpanjangan.
Doanya tidak lagi berbau luka dan dendam.
Dia kini hanya mahu sembuh.
Hari berganti minggu. Luka yang dulunya menjerut perlahan-lahan pulih seperti rumput yang tumbuh selepas hujan, senyap, tapi pasti. Turinem sudah jarang menyebut nama Sonia. Rumah tangganya kembali jernih. Wajahnya makin berseri. Suaminya pun dah berpindah daerah, jauh dari bayang lalu.
Namun pada suatu petang, entah kenapa, hatinya digerakkan untuk membuka media sosial.
Matanya tertancap pada satu gambar berwarna yang kini dihitam-putihkan. Rambutnya yg menggerbang perang kelihatan dipudarkan membentuk seperti hijab. Nama yang ditanda pada foto membuatkan dada Turinem bergetar.
Wajah itu… seakan pernah dikenal.
“Sonia?”
Dia baru teringat, dia pernah menambah seorang teman Sonia bertahun lalu. Mungkin juga Sonia dah unlock profilenya untuk mempromosi perniagaan homestaynya, makanya kini mutual friend Turinem dapat menanda namanya. Dan apa yang terpampang di hadapannya kini terasa seperti mimpi yang tak logik disentuh realiti.
Turinem menggali lagi profile Sonia untuk memastikan kesahihannnya, gambar-gambar gedik dengan gaya menggoda tak cukup kain, separuh dada terselak juga masih ada di situ. Komen-komen lelaki gatal separuh abad juga masih abadi di situ. Hanya ada 2,3 komen yang meminta ia dipadam.
Miss Mirror yang kebetulan ada di situ terperanjat melihat wajah Turinem yang kaget.
“Tory? Kenapa?”
Turinem menunjukkan skrin.
Miss Mirror membaca perlahan. Nafasnya terhela panjang.
Innalillahiwainnailayhirojiuun.
“Tory… ini bukan balasan yang kau minta. Ini urusan Allah sepenuhnya. Mati… itu rahsia yang tak ada siapa boleh duga,” ujar Miss Mirror perlahan, seakan memegang hatinya yang tiba-tiba kosong.
Turinem duduk semula. Dadanya terasa hening, bukan puas, bukan gembira. Hanya… hening yang dalam.
Diam-diam, dia teringat kalimat doanya dahulu:
“…dan janganlah Kau jadikan aku orang yang zalim dalam amarahku.”
Tanpa sepatah kata, Turinem menutup mata. Bibirnya bergerak perlahan.
“Al-Fatihah…”
Dia hadiahkan surah itu setulus yang mampu.
Bukan kerana lukanya telah hilang sepenuhnya, tetapi kerana akhirnya dia mengerti…
“Kifarah bukan untuk ditunggu.
Ia hadir ketika hati sudah tak memerlukannya lagi.”
Sekian. TAMAT.


Betul... Lagipun bersukacita atas kesusahan orang lain, walaupun dia musuh kita, saya rasa tak elok. Jadi lebih bagus kita tak tahu apa2 lagi tentang dia. Jika akhirnya tahu, tak ada lagi perasaan sakit hati atau dendam, sehingga doa kita pun bisa lebih tulus.
ReplyDeleteNampaknya SA kena baca dari awal la ni...baru faham jalan cerita
ReplyDelete