Showing posts with label Jalan-jalan overseas. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan overseas. Show all posts

Thursday, May 21, 2026

Gerai Sup Meletop di Perth

Assalamualaikum everyone!

Lama tak update blog.  Busy sikit.    Malam hari tu my son ajak makan kat gerai makan baru.  Bumi Perth yang basah menambahkan lagi rasa lapar.   Sesungguhnya saya seorang peminat hujan bila di Australia.




Ternyata tak menyesal sebab semuanya memang sedap-sedap. Sesuai namanya “Gerai Sup Meletop”.



Lokasi di Crimea Street, Morley.   Beberapa deretan gerai lain juga terdapat di situ.  Tapi tak pasti plak halal ke tak sebab malam tu niat cuma nak terus ke Gerai Sup Meletop ni je.



Sup Daging yang sedap.   Hujan mula berhenti, pelanggan-pelanggan lain yg tadinya menunggu mula memenuhi bangku-bangku bawah pokok yang tadinya basah.




Nasi goreng kampung dia memang the best, serupa makan di Malaysia.


Insha Allah akan repeat di lain kali sebagai aktiviti di malam hari.   Ditutup pada hari Isnin dan Selasa.

Friday, April 17, 2026

Merayau Ke Kampung Orang.

Assalamualaikum wbt

Rezeki orang lain nampak banyak kerana kita tidak melihat ujian yang mereka tanggung di sebaliknya. Setiap kehidupan itu ada ceritanya sendiri, ada yang dipamerkan, dan ada yang Allah simpan rapi sebagai rahsia antara Dia dan hamba-Nya.

Kedamaian itu rezeki terbesar mengatasi wang ringgit. Sebab itu  bila travel, saya lebih teruja bila dapat masuk ke kampung-kampung orang. Di situlah sebenarnya banyak pelajaran yang tidak diajar di mana-mana. Tentang ketenangan, kesederhanaan, tentang keikhlasan, dan tentang cara manusia saling menyokong tanpa banyak bicara.




Pergi ke sebuah kampung di Mataram, jiwa saya terasa damai melihat suasana sawah ladang di situ. Tidak mewah, tidak juga serba kekurangan  tetapi cukup dengan rasa tenang yang sukar digambarkan. Sesekali terlihat orang kampung berbondong-bondong menuju ke majlis perkahwinan, masing-masing mengusung dulang besar di atas kepala sebagai sumbangan kepada tuan rumah mengingatkan pada suasana perkampungan terpencil di  Malaysia tahun 70 an, 80 an. 







Singgah makan dan solat di RM. Bintaro Jaya.  Pak Supir kata Amy Search Isabella pernah makan di sini.  Badan masa ni tengah dedar2, rasa lega dapat menghirup sayur bening jagung ni.   Selain tu saya oder satay.  Bila kat sini saya kurang suka makan ayam taliwang sebab ayam dia kurus macam saya (memang asli resepinya begitu, maksud ayam taliwang tu ayam tu ayam sunti sebab tu kecik, selama ni saya fikir ia sebuah nama resepi).  Rupa-rupanya yang kat Perth tu “resepi derhaka”( kot ) sebab tu gunakan ayam gemuk tapi sedap giler!.    Tu la penderhakaan yg berjaya.   Kekeke.



Ok boleh repeat makan di sini lagi next time di Kota Mataram, Nusa Tenggara.




Thanks Makcik ajar saya buat labu sayung.   Tapi sayangnya terkejar-kejar masa waktu ni sebab banyak lagi tempat ingin disinggahi. 

Tuesday, April 14, 2026

Beraya dan majlis kahwin di Lombok

Assalamualaikum wbt.

Di hujung-hujung lebaran, kami beraya di Kota 1000 Mesjid, iaitu Lombok, Indonesia.   Dahulu, saya agak skeptikal setiap kali mendengar tentang lelaki Lombok.   Mereka sering dikaitkan dengan cerita melarikan anak dara orang.  Jadi saya agak “seram”.   Hihi.  Tapi dalam seram2nya saya, saya masih optimis ketika itu bila terbaca entri abang saya yang bertajuk “Rahsia kenapa ramai terpikat dengan jejaka Lombok?”.   Mcm tu kot tajuk dia. 

Namun, bila diberi peluang melihat dan merasai sendiri kehidupan di sini, barulah faham bahawa di sebalik cerita culik menculik itu, tersimpan nilai dan adat yang telah lama berakar. Ia bukan sekadar kisah “melarikan”, tetapi satu tradisi yang ada aturan, persetujuan, dan makna tersendiri dalam masyarakat mereka.



Alhamdulillah, diberi peluang menyantuni pengantin di Rumah Adat Sade, iaitu perumahan masyarakat Sasak yang unik dan menarik. Sasak ialah nama suatu kaum di Lombok, dan kebanyakannya beragama Islam, indah dengan cara hidup yang masih kuat berpegang pada adat dan tradisi.

Salah satu keunikan budaya di sini seperti yg saya sebutkan tadi ialah adat “menculik” bakal isteri, atau lebih dikenali sebagai merariq



Menariknya juga, dalam kalangan mereka, perkahwinan sesama saudara terdekat seperti sepupu bukanlah sesuatu yang asing. Ia menjadi sebahagian daripada tradisi yang diamalkan sejak dahulu, sebagai cara untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan dan warisan dalam komuniti mereka.



Dibawa melihat rumah2 masyarakat di situ.  Ada yg dihuni dan ada yg sekadar pameran.   Rumah ni berlantaikan najis lembu tapi sebenarnya sekadar ditabur2 mcm tu je lah bukan lah dimampatkan hingga menjadi lantai seperti yg saya bayangkan sebelumnya.  Tujuannya supaya “hantu” tak berminat nak kacau.

Teringat cerita kawan saya, gara2 usahanya untuk mendapatkan zuriat, Perawat memandikannya dengan air kubang hinzir.  Lantas saya terfikir, mungkin konsepnya sama dengan cerita di atas kot.  Nak halau hantu. Wallahualam.





Berbual dengan pak supir yang juga pernah melalui adat “menculik” ini, dari ceritanya, jelas bahawa adat ini bukan sekadar perbuatan spontan, tetapi ada aturan dan persetujuan yang difahami dalam masyarakat mereka.

Beliau juga berkongsi bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan ilmu pelet untuk memikat gadis yang disukai.  Nasihat beliau kepada gadis2 di luar sana :- jika menerima makanan daripada seseorang, ingat siapa yang memberinya. Dengan itu, katanya, ilmu tersebut akan kurang menjadi.   Moga kita semua dilindungi. 



Pak Supir juga bercerita, lazimnya sebelum pegi ke majlis2, uda dan dara ini akan “all out”, malah ada yang pergi dulu ke salon, tak kira sama ada lelaki atau pun perempuan.  Semua dilakukan untuk mencari jodoh.  Kebanyakan mereka berkahwin di usia muda.   


Menu di rumah pengantin antaranya :  Masak lemak babat dan batang pisang, kerabu tauge dan gulai daging.

Terima kasih tuan rumah atas jemputan ini dan layanan yang sangat mesra dari semua.  Kami sangat berbesar hati.  Moga ketemu lagi di lain kali.  Insha Allah.


Wednesday, January 21, 2026

Meneroka Warisan dan Tradisi Jawa di Keraton Yogyakarta

Assalamualaikum guysss!

Antara perkara yang menarik di Keraton Yogyakarta ialah paparan adat dan tradisi masyarakat Jawa. Semuanya dipersembahkan dengan begitu teratur, seakan-akan mengajak pengunjung memahami perjalanan hidup seseorang melalui lensa budaya Jawa.



Seperti pengalaman yang pernah ai ceritakan dalam entri terdahulu, acara Siraman Pengantin adalah  perlambangan penyucian diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Setiap air (dari 7 mesjid) yang dituang mempunyai makna, setiap gerak ada falsafahnya. Ia bukan sekadar ritual, tetapi doa yang dibentuk menjadi perbuatan.   Wanita-wanita yang dipilih untuk memandikan bakal pengantin juga ada syarat-syarat tertentu.



Dah lama betul tak dengar perkataan “boyongan” seperti yang tertera pada signboard hitam itu. Ini sebenarnya merujuk kepada pakaian yang biasanya dipakai oleh mempelai ketika boyongan yang pada ai membawa maksud berpindah. Namun dalam konteks ini, ia merujuk kepada majlis resepsi atau majlis menyambut menantu.   Betul juga, mempelai perempuan memang sedang “berpindah” ke alam yang baru.



Kemudian ada pula hidangan simbolik seperti bubur putih bubur merah, yang sering dihidangkan dalam kenduri kesyukuran.   Sedap , diperbuat dari beras pulut dan gula melaka serta bersantan.  Simbol  keseimbangan dan rasa syukur dalam cara yang paling sederhana. Bubur yang nampak biasa, tetapi kaya makna dalam adat Jawa.  Ada putih ada merah.. begitu lah kehidupan.  





Alhamdulillah dapat mengembalikan semula ingatan pada budaya nenek moyang, Keraton Yogyakarta ini mengumpulkan semuanya itu  dalam satu ruang yang damai dan penuh nilai.

Ia adalah sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Jawa, menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Kewujudannya mencerminkan perjalanan panjang Kerajaan Mataram Islam. Ringkasnya, kesultanan ini kemudiannya berpecah kepada dua: Kesultanan Yogyakarta dan Kesultanan Surakarta.


P/S. :    Ai pun baru tahu bahasa Jawa ada aksara (huruf)nya sendiri.   Malah menurut penduduk setempat ia juga terkandung dalam silibus membelajaran.



Thursday, December 25, 2025

Dinner di Restoran 1819. Speghetti Aglo Olio yang super sedap.

Assalamualaikum guysss!.

Hotel kami di Osaka tak de kitchen macam di Tokyo, tu yang banyak makan kat luar je.  Sebaik sampai di Osaka dari Tokyo aritu, ini lah restoran pertama yang kami kunjungi. 1819 nama dia.   Untuk masuk ke restoran ni kena menuruni tangga.  Terkibar bendera Malaysia di situ.



Ruang solat disediakan di restoran ini.



Disambut mesra oleh seorang waiter perempuan, dari Ganu katanya.  



Aglo olio dia tersangat sedap sampai oder 2 kali.  Mulanya sekadar cuit-cuit dari pinggan MrBBjr.  Bila rasa sedap ai oder sepinggan lagi.  Hihi.



Cik Q oder nasi goreng.   Bila di negara orang, keropok pun jadi sedap berganda.  Dorang ada hidangkan semangkuk masa proses menunggu hidangan.. licin kami makan.



Ini yang ai oder sebenarnya (sama dengan hubby),  Lamb Steak… tapi pinggan batu dia ni sempit sangat, tak selesa plak nak membuat aktiviti potong memotong 😅, takut tergolek.   Tu yg terus fokus je dengan speghetti.  Swab makan dengan anak2.

Tapi yang menariknya, ada hidangan teh tarik panas percuma di restoran ini.   Alamak!.   Dah la ai tengah diet caffeine.   Cuaca sejuk pulak.  Apa lagi.. diet caffeine pun ke laut.


p/s :   Just my personal opinion.


Wednesday, December 24, 2025

Misteri kenapa dilarang buka plastik hingga keluar dari Jepun.

Di tengah hiruk-pikuk Shibuya yang seolah-olah tidak pernah benar-benar diam kemarin, mata terpaku pada seketul bedak yang cute di Lush.  Ain pernah belikan masa percutiannya ke Japan, tapi saiz besar. Niat asalnya satu : untuk dipakai terus sepanjang travel. Hati pun berbunga; sudah lama sebenarnya mencari item-item cute begini, yang praktikal dan membantu meminimumkan ruang beg.





Cik Q membantu membuat bayaran di kaunter bersama beberapa barangannya yang lain, sambil menghulurkan pasport kepada juruwang. Agak lama juga dia beratur. Tiba-tiba dia kembali dengan plastik yang kelihatan berbeza, berlapis dan digam rapi.

“Mama jangan buka tau plastik ni sampai kita dah keluar dari Japan.”

Saya terlopong seketika.  Laaa cemana nak pakai kalau tak boleh dibukak?.  Namun, entah mengapa tidak pula terdorong untuk bertanya panjang. Sebaliknya, otak ligat berfikir, cuba mencari logiknya.   Anda rasa kenapa?.




Barang duty-free dijual tanpa cukai Jepun dengan syarat:

  • ❌ Tidak digunakan di dalam Jepun

  • ❌ Tidak dibuka sebelum keluar negara

Sebab itu:

  • Penjual akan seal beg atau produk

  • Jika seal dibuka → dianggap digunakan di Jepun. Secara teknikal, pembeli perlu bayar cukai semula.   (Of coz dah direkod segala belian tu dalam passport.  So don’t play2).  


Tujuan :-


Untuk mengelakkan penyalahgunaan (contoh: beli murah, guna, jual semula)


Mudahkan pemeriksaan kastam di lapangan terbang.


Untuk memastikan barangan sampai ke luar negara dalam keadaan asal.

Seal ini jadi bukti pematuhan peraturan, bukan sekadar hiasan.  Ia bukti pematuhan janji.


Nota :   Bawa passport setiap kali shopping.



Tuesday, December 23, 2025

“Hantu Penat” dah lari ikut kawan-kawan dia kat taman bunga.

Assalamualaikum guyss!!

Ai suka aktiviti shopping berbanding ke taman bunga, tapi untuk melengkapkan percutian di Osaka, kena la layan impian anak-anak untuk menghirup udara Tsurumi Ryochi Park.   Nasib baik pegi lebih awal sebab keesokan harinya Osaka hujan lebat.

Taman ni lebih kurang macam Kingspark cuma bezanya pohon-pohonnya lebih banyak yg menguning merah dan tak banyak sangat bunga-bungaan.   Mungkin jika pegi ketika spring, ia akan lebih cantik lagi kot.




Selalu nampak buah (buah or bunga?) ni kat pokok plastik je, rupa-rupanya wujud ye di alam reality.   I see.  Sorry sebab snap ketika ia tak cantik.  Banyak lagi yg cantik tapi masa tu bateri phone dah kong.




Tak dapat nak naik train biru tu, malas nak beratur kat kaunter.  


Oh ye.. motif ke sini ni sebab Cik Q nak tengok castle.  


Tapi idok ler Mama and Abah nak join memanjat tangga tu.   Biar la bebudak dua tu je pegi.   Kitorang selfie-selfie kat pinggir bukit je.




Tidak lengkap rasanya jika menjejakkan kaki ke sini tanpa sekeping selfie di kincir angin ini. Walaupun penat, ai gagahkan juga mendaki. Malu pula rasanya melihat ah soo2  Jepun yang jauh lebih berusia pun kelihatan steady, melangkah dengan penuh tenaga.  Siap pimpin cucu lagi.

Jadi setiap kali rasa penat menjengah, ai lawan dengan jogging kecil, mempercepat langkah menuju ke puncak. Padan muka si “hantu penat”, siapa suruh ikut ai? 😄😄 Akhirnya, “hantu penat” pun malu sendiri untuk singgah lagi. Lari dia ikut kawan-kawan dia di celah-celah pohon bunga tak kasat mata. Kekeke.  Sejak itu, penat pun ghaib dan badan rasa segar. Alhamdulillah.

 

Sunday, December 21, 2025

Japan : Keperluan Pakaian Musim Sejuk.

Assalamualaikum guyss.

December di Jepun berada pada fasa awal musim sejuk, dengan suhu yang masih terkawal dan belum ekstrim. Belum lagi sampai tahap sejuk mencucuk tulang. Bagi yang mengidamkan pengalaman winter bersalji tebal, bulan Januari di Sapporo adalah pilihan yang lebih tepat. Bukan di Tokyo atau Osaka.




Dari sudut keperluan pakaian, gloves bukan item kritikal pada bulan December begini. Lagi pun ia mudah didapati di sini, termasuk di kedai serbaneka seperti Family Mart, dengan variasi harga dan kualiti. (Sila zoom gambar untuk perbandingan.) Maka, membeli gloves terlebih awal dari tanah air sebenarnya tidak begitu perlu.  Kecuali jika anda dapat membeli murah di on line yg tak sampai pun RM10 sepasang.   

Sebaik turun dari Perth, Cik Q ada membelikan kami gloves hampir RM280  di KL termasuk untuk Mama,  abah dan adiknya. Rasa menyesal pula.. sedangkan setibanya di Jepun, mudah saja diperolehi dan tak menggunakannya sangat.  Dalam mall pula adakala heater terlalu kuat. Tapi ini bergantung pada tahap kemampuan badan masing2 ye.  Waktu malam kadangkala sejuk terlampau.

Nota : Dengan RM280 itu anda boleh jimatkan untuk membeli sebijik preloved Coach atau MK di sini ya puan2.  Semuanya orizainal dan masih ayu.



Berbeza dengan gloves, winter coat wajar disediakan lebih awal. Sekurang-kurangnya satu puffer perlu ada sebelum berlepas. Faktor ini penting, terutamanya semasa perjalanan awal dari airport ke hotel, di mana pendedahan kepada suhu sejuk berlaku dalam tempoh yang lebih lama dan badan belum sempat menyesuaikan diri.

Ai pakai 3 lapisan : Hitech (1 set baju dan seluar panjang), Sweater dan Puffer Jacket.   Untuk pants pula : jeans.  

Beanie :   Kalau rasa comey memakainya, pakailah.  For me, ai rasa tak comey tapi pakai jugak utk mengurangkan sejuk.



Hitech pun ada terjual.   Zoom untuk harga.


Lawo plak kerusi train ni warna hijau.


Lunch tadi kat Lawson.   Ni antara yang diujiselidik melalui Halal apps.  Sandwich kat Lawson ni melepasi saringan plak.  Kemarin di Family Mart - ingredients doubtful.  

Disclaimer :   BTW, ujian ini hanya utk hari ini sahaja.  Mungkin tidak terpakai utk masa lain (kena cek lagi).



Ni la mochi yg ai bagitau kemarin.   Arini Mama sekadar ambik bau je yang Cik Q makan sebab  Mama tgh diet mochi.    



Ada yg kata takut nak pakai but sebab masalah di kastam.  Sebenarnya ok je.. asalkan kita bukak sebagaimana yg diarahkan.    


p/s. :   Tak banyak gloves dalam almari peribadi walau pun kami tinggal di Perth sebab kat sana winter masih dalam suhu sederhana.



Friday, December 19, 2025

Japan : Jatuh Cinta Dengan Osaka

Masa baru tiba di Tokyo kemarin, hati ini sempat berbisik sendiri.


“Ah… Ain ni mesti tipu Mama, katanya best sangat Jepun ni?.”

Bisikan itu muncul bila terpaksa terkejar-kejar naik tangga yang tinggi2. Penat!.  Berjalan pula di tengah kota yang tidak pernah tidur. Letihnya tu, memang terasa. Macam lirik lagu Alleycat. 


Rupanya, sangkaan itu tidak kekal lama. Sebaik sahaja sampai ke Osaka petang tadi, fikiran mula berubah. Suasana Osaka lebih tenang, seolah-olah memujuk jiwa yang keletihan. Jalannya pula rata tidak berbukit2, langkah terasa lebih ringan. Dan di sinilah baru benar-benar terlihat apa yang Ain maksudkan.


Rupanya, bukan Jepun yang meletihkan. Cuma daku yang belum sampai ke tempat yang sesuai dengan jiwa. Rupa-rupanya Osaka lah tempatnya.

Dan malam ini di Osaka, mulut tak lagi berkata “ini yang terakhir”.

Bagaimana pun semua itu bergantung pada minat masing-masing. Sebenarnya shopping di Tokyo pun best juga, beli baju semua tak perlu alter. Pendek kata, saiz orang sini sama macam kita-kita.  Hanya dengan sekali capai terus muat pada badan, tak terlebih, tak terkurang.  Penjual2 di Tokyo juga fasih berbahasa Inggeris.  Tidak la seperti yang ai dengar, ibarat kucing bercakap dengan itik.  Mereka juga bersopan santun.  Oh ya, di fitting room kena buka kasut.   Ha yang ni ai agak problem sikit, sebab ai ni suka mencuba baju untuk sesuaikan dengan kasut.  😅




Perjalanan darat menaiki train dari Tokyo ke Osaka mengambil masa hampir dua jam.  Menariknya, bagasi utama kami sudah pun “sampai” lebih awal sehari sebelum tuan badan sampai kerana telah dipos terlebih dahulu.   Sebaik check in tup-tup dalam bilik beg2 tu dah terbaring ayu di situ.   

Namun begitu, keletihan tetap ada. Beberapa hand carry masih perlu dibawa bersama sepanjang perjalanan menaiki train ini. Penatnya berbondong-bondong, tapi hati sudah mula berdamai apabila melihat indahnya bandaraya Osaka di malam hari dalam cuaca winter.   Perut yang lapar diisi dengan steak kambing di restoran Malaysia (entri lain).  



Tak semua train dibenarkan makan.  Makan sambil berjalan pun dianggap kurang sopan (ini yg ai baca). Tapi ni kan train laju. 

Bukan peminat pisang mentah tapi gara-gara ke sini, semuanya jadi berharga.  Dah itu je yang halal.



Shopping complex dah tutup.






Hikmah dari perjalanan ini, balik nanti mesti ai terbawa-bawa kesopanan yang ditunjukkan :  

1).  Beri barang guna kedua belah tangan.
2).   Dalam train cakap berbisik2.


Sekian.   Just my personal opinion.  Arigato gozaimas.



Japan Part III - Tempat solat & Beli Beras

Sekali lagi singgah makan di Cinta  Jawa Cafe, Shibuya.  Aritu kan lupa nak snap.   Besar ruang restoran ni, kelihatannya macam ada dua ruang berbeza.   Kali ni pegi ke ruang yang satu lagi.  Suasananya sedikit berlainan, tetapi tetap selesa.

Terletak di kawasan yang boleh dianggap prime area, tentu sahaja kos sewanya bukan kecil. Namun dari situ sudah dapat dibaca kehebatan dan keberanian pemilik restoran ini. Bertahan dan berkembang di lokasi sebegini, di negara orang pula, bukan usaha biasa-biasa.




Lokasi : Kokusai bld A, 4F, 13-16 Udagawacho, Shibuya, Tokyo 150-0042, Japan.


Sebelum sampai ke situ, melintasi kedai ni.  Kat sini la kami beli beras yang serupa nasi impit kemarin. Rasanya cukup la sekadar itu.  Ai tetap rindukan my basmathi.  Kepala pula tengah senoneng akibat diet kaffien ke laut dan termakan mochi (mochi kat Jepun ni sedap).  Jadi bila makan “nasi impit” tu menambahkan lagi senoneng.

Oh ya, di shopping complex PARCO di Shibuya  ini tersedia ruang solat.  Tempat mengambil wudhu juga ada tapi jika anda dapat mengekalkan wuduk dari rumah lebih baik kerana ia berkongsi dengan jemaah lelaki.   Ai tiada isu dalam hal ini kerana diapit oleh 2 orang “body guard” lelaki  yang setia menemani.   Maghrib masuk terlampau awal dlm pukul 4.00 pm, memang tak sempat jika nak balik semula ke hotel untuk jamak zuhur dan asar.